KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Harga barangan asas di ibu negara dan bandar raya Ipoh hari ini menunjukkan trend konsisten, namun terdapat sedikit peningkatan di Johor Bahru berbanding semalam.
Di pasar raya sekitar Kuala Lumpur, harga ayam bersih super, kekal stabil pada kadar RM10.29 hingga RM10.90 sekilogram pada hari ini dan semalam berdasarkan pemerhatian menerusi aplikasi Price Catcher Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Harga telur ayam pek 30 biji bagi semua gred juga kekal, iaitu Gred A antara RM11.39 hingga RM14.40, Gred B (RM9.70 hingga RM13.50) dan Gred C (RM8.49 hingga RM9.70).
Bagaimanapun, harga ayam bersih standard meningkat kepada RM8.20 hingga RM11 sekilogram berbanding RM7.99 hingga RM10 yang direkodkan semalam.
Harga bawang besar import dari India juga menunjukkan sedikit peningkatan, iaitu antara RM2.69 hingga RM5 sekilogram, berbanding RM2.49 hingga RM5 semalam.
Di Ipoh, pemerhatian menerusi aplikasi berkenaan mendapati harga ayam bersih standard konsisten antara RM7.59 hingga RM11 sekilogram pada hari ini dan semalam.
Telur Gred A (30 biji) kekal pada harga RM9.90 hingga RM13.20, manakala bawang besar import India dijual antara RM1.39 hingga RM5 sekilogram.
Bagaimanapun, berlaku sedikit peningkatan harga bagi cili merah yang dijual pada harga RM10.99 sekilogram hari ini berbanding RM10 semalam, dengan harga tertinggi dilaporkan mencecah RM20 sekilogram di lokasi tertentu di bandar raya itu.
Sementara itu, di Johor Bahru pemerhatian menerusi aplikasi itu menunjukkan harga ayam standard dijual pada RM6.99 hingga RM11 sekilogram di beberapa pasar raya, meningkat berbanding serendah RM6 sekilogram semalam.
Cili merah pula dijual antara RM5.90 hingga RM17 sekilogram hari ini berbanding serendah RM4.99 sekilogram semalam, selain telur Gred C bermula pada harga RM8.09 hingga RM13.35 hari ini, berbanding RM7 semalam.
Menurut maklumat dalam aplikasi itu, harga yang dipaparkan adalah berdasarkan hasil pemantauan pegawai KPDN di premis-premis terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial