JOHOR BAHRU, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan cuba meminimumkan sebarang gangguan semasa tempoh peralihan daripada Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) kepada Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) yang kini berada pada fasa akhir pelaksanaan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sistem baharu imigresen itu dibangunkan bagi menggantikan sistem lama yang telah digunakan sejak berdekad lamanya dan sering mengalami gangguan khususnya di pintu masuk utama negara.
Beliau berkata proses peralihan daripada sistem lama kepada sistem baharu biasanya melibatkan fasa peralihan dan integrasi yang berpotensi menyebabkan berlakunya gangguan kecil dari semasa ke semasa.
”Saya tak boleh bagi jaminan bahawa gangguan tidak akan berlaku sebab ini sistem lama yang kita warisi sekian lama. Sebab itu kita tukar dengan sistem baru dan kita harap ini akan menjadi game changer (anjakan perubahan) bagi menyelesaikan masalah kesesakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatannya ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Stesen Bukit Chagar bagi meninjau projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain.
Sistem MyNIISE yang akan dilaksanakan sepenuhnya pada September ini di pintu masuk negara akan membolehkan pelepasan dilakukan melalui tiga kaedah iaitu pengecaman wajah, kod QR (kod Respons Pantas) dan pasport.
Saifuddin Nasution berkata kementeriannya turut mengadakan beberapa siri mesyuarat bersama vendor yang membangunkan sistem, membekalkan infrastruktur serta menjalankan penyelenggaraan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tidak dapat menolak stigma mengenai gangguan sistem yang kerap berlaku termasuk di BSI, namun sentiasa mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu tersebut.
“Kita tahu gangguan itu berlaku kerana (masih) penggunaan sistem lama, sehingga sistem baharu beroperasi, kita (jangka) akan terus berdepan perkara tersebut,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata sebanyak 220 unit pintu masuk automatik (e-gate) di Kompleks CIQ kini siap dipasang sepenuhnya dan akan melalui proses integrasi sistem menggunakan platform MyNIISe bermula pertengahan Jun ini.
Katanya, fasa seterusnya melibatkan integrasi sistem serta pelaksanaan ujian percubaan secara berperingkat.
“Pelaksanaan projek berskala besar itu bukan sahaja bertujuan mempercepatkan pergerakan penumpang secara lebih lancar tetapi turut memperkukuh aspek keselamatan negara melalui penggunaan teknologi pemantauan terkini.
“Teknologi yang digunakan membolehkan setiap pergerakan direkod, dianalisis dan dipantau secara masa nyata bagi mengelakkan sebarang ruang berlakunya cubaan penyeludupan, kemasukan tidak sah atau ancaman keselamatan lain,” katanya.
Beliau berkata kawalan pintu masuk sempadan negara sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman keselamatan termasuk pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, kemasukan pendatang asing tanpa izin serta aktiviti penyeludupan lain.
RTS Link Johor Bahru-Singapura yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun depan menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru ke Stesen Woodlands North di Singapura dengan tempoh masa perjalanan hanya lima minit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial