KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh diplomasi pendidikan tinggi antara Asia Tenggara dan Asia Tengah menerusi misi ilmu Malaysia-Uzbekistan yang merangkumi kerjasama universiti, keilmuan Islam, warisan budaya, penglibatan alumni dan dialog ketamadunan.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM berkenan mengetuai misi itu yang berlangsung dari 5 hingga 9 Mei.
Dalam kenyataan hari ini, UTM memaklumkan misi itu melibatkan mesyuarat kerjasama strategik, sesi penglibatan alumni serta pemeteraian 12 Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan lapan universiti dan empat institusi penyelidikan dari Tashkent, Bukhara, Samarkand, Fergana dan Urgench.
“Pertukaran MoU ini menandakan langkah ke arah kerjasama akademik berstruktur antara UTM dan institusi di Uzbekistan dalam bidang termasuk kolaborasi penyelidikan, mobiliti akademik, penyeliaan pascasiswazah, pertukaran ilmiah, program bersama serta perkongsian ilmu,” menurut kenyataan itu.
Misi itu bermula pada 5 Mei menerusi Persidangan Diraja bertajuk “Tradisi Saintifik dalam Ketamadunan Islam: Sumber, Potensi dan Cabaran” di Pusat Peradaban Islam Antarabangsa (ICC) di Tashkent.
Persidangan anjuran Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS) UTM dan Pusat Peradaban Islam Uzbekistan menghimpunkan lebih 300 cendekiawan, menteri, ahli akademik serta penggubal dasar dari Malaysia dan Uzbekistan.
UTM memaklumkan Seri Paduka Baginda dalam titah diraja menyeru pembaharuan kepada asas intelektual dan etika yang membolehkan peradaban Islam berkembang pesat sebelum ini, dengan mengimbas sumbangan ilmuwan dari rantau itu seperti Imam al-Bukhari, Al-Biruni dan Ibnu Sina.
“Cabaran kita hari ini bukan sekadar untuk mengagumi warisan yang hebat, tetapi untuk memperbaharui perkara yang pernah menjadikan warisan seperti itu berkembang,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda juga menyentuh hubungan antara iman dan ilmu, mengingatkan hadirin bahawa tradisi intelektual Islam tidak meletakkan agama dan sains sebagai sesuatu yang bertentangan.
“Satu peradaban boleh memuliakan akal tanpa memisahkannya daripada wahyu. Ia boleh mengalu-alukan penyelidikan tanpa mengosongkannya daripada nilai moral. Ia boleh mencari penemuan tanpa melupakan hikmah,” titah Seri Paduka Baginda.
Selain itu, UTM memaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menyertai misi itu, menyifatkan era moden bukan sahaja dibentuk oleh gangguan teknologi tetapi juga krisis epistemologi, iaitu akses kepada maklumat telah meluas tetapi masyarakat berhadapan dengan kekurangan hikmah, etika dan hala tuju moral.
“Beliau (Zambry) menggariskan tiga keutamaan bagi pendidikan tinggi, iaitu memperkukuh pandangan Islam yang holistik, membina semula ekosistem intelektual yang menghasilkan graduan beretika dan bertanggungjawab serta menghidupkan semula ijtihad atau pemikiran kritis untuk menangani cabaran semasa,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Naib Canselor UTM Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata misi itu mencerminkan peranan universiti dalam membina jambatan ilmu merentasi rantau dan peradaban.
“Kerjasama antara Malaysia dan Uzbekistan ini mencerminkan aspirasi kami (UTM) untuk membina jambatan ilmu merentasi rantau dan peradaban serta memajukan penyelidikan, pertukaran intelektual dan kepimpinan beretika untuk manfaat generasi akan datang,” katanya.
Diadakan bersempena dengan lawatan Raja Zarith Sofiah ke Uzbekistan, misi itu turut merangkumi lawatan ke lokasi penting warisan dan ilmu di Uzbekistan termasuk Shah-i-Zinda, Kompleks Peringatan Imam al-Bukhari serta Dataran Registan di Samarkand.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial