Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Karya “Unharvested Futures: Voices Of The Field” Menang Anugerah Utama Bakat Muda Anjuran Balai Seni Negara

10/05/2026 12:19 PM

LANGKAWI, 10 Mei (Bernama) -- Karya anak jati Batu Pahat, Johor bertajuk “Unharvested Futures: Voices of The Field” dipilih sebagai pemenang Anugerah Utama Pertandingan Bakat Muda Sezaman Edisi ke-29 (BMS29) di Balai Seni  Negara di sini malam tadi.

Karya Norfatihah Yusof, 31, yang mengetengahkan budaya penanaman padi di Pulau Tuba, di sini yang semakin terhakis dan isu persekitaran serta suara masyarakat tempatan, berjaya menarik perhatian panel juri sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai RM40,000 berserta sijil penghargaan.

Pemilik Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Seni Halus daripada Universiti Sains Malaysia menerima anugerah itu dalam keadaan berkerusi roda susulan kecederaan akibat kemalangan semasa dalam perjalanan untuk membuat persiapan akhir pameran yang berlangsung di kawasan sawah padi di Pulau Tuba.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau yang berpengalaman hampir 10 tahun dalam bidang seni halus berkata idea menghasilkan karya mengenai kehidupan masyarakat pesawah di Pulau Tuba tercetus selepas beberapa kali menjalankan kajian di pulau itu.

“Ini pencapaian besar dalam perjalanan kerjaya saya sebagai pengkarya seni. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada penduduk kampung Pulau Tuba serta rakan artis lain yang turut merealisasikan karya masing-masing walaupun berhadapan pelbagai cabaran,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian BMS29 malam tadi.

Selain anugerah utama, empat anugerah juri diterima Aiman Yusri Mohamad Yusoff, Khairul Ehsani Sapari, Muhammad Ismail Rahim serta duo pengkarya Lim Xiao Mun dan Helmi Azam Tajul Urus dengan setiap penerima membawa pulang wang tunai RM15,000 berserta sijil penghargaan.

Ad Banner
Ad Banner

 Sembilan penerima Anugerah Harapan pula masing-masing menerima wang tunai RM1,000 berserta sijil penghargaan.

Majlis perasmian BMS29 disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff dan turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Profesor Madya Dr Jalaini Abu Hassan serta Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerrudin Ahmad.

Panel juri BMS29 terdiri daripada Kurator dan Ketua Pengarah Echigo-Tsumari Art Triennale, Jepun Fram Kitagawa; Pensyarah Institut Teknologi Bandung, Indonesia Dr Agung Hujatnikajennong dan Timbalan Pengarah Institut Seni Kreatif dan Teknologi (iCreaTe) Universiti Malaysia Sarawak Dr Mohamad Faizuan Mat.

BMS29 tampil dengan pendekatan “Lokasi Spesifik” atau site-specific, dengan Langkawi dipilih sebagai latar utama pengkaryaan bagi memberi ruang kepada peserta menghasilkan karya yang berakar daripada sejarah, budaya, ekologi dan naratif masyarakat setempat.

Penganjuran pameran karya itu turut mendapat sokongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), The Riyaz Lavanya Langkawi dan Bon Ton Locale serta kerjasama beberapa agensi, rakan strategik, pihak swasta dan komuniti setempat termasuk penduduk Pulau Tuba.

Sebanyak 21 penyertaan akhir dengan 16 karya dipamerkan di beberapa lokasi sekitar Langkawi termasuk Taman Lagenda, Hospital Lama Kuah dan Bendang Padi Pulau Tuba yang melibatkan pelbagai medium seperti instalasi, media campuran, digital, persembahan dan interaktif.

Pameran karya BMS29 dibuka kepada orang awam sehingga 26 Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan