Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Langkah Penjimatan Kerajaan Manifestasi Disiplin Fiskal, Perkukuh Daya Tahan Ekonomi

10/05/2026 10:33 AM

Oleh Kuvineshwaren Nedunjelian

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Keputusan kerajaan untuk meningkatkan kawalan terhadap perbelanjaan tidak kritikal, termasuk melaksanakan penganjuran acara rasmi secara sederhana, membuktikan langkah proaktif serta disiplin fiskal yang mampu memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi global.

Pakar Dasar Awam yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Asiyah Kassim berkata pendekatan tersebut adalah tepat pada masanya memandangkan situasi global yang semakin mencabar ketika ini.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata langkah itu merupakan strategi serampang dua mata bagi mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan awam tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Langkah penjimatan perbelanjaan tidak kritikal mencerminkan pendekatan pengurusan fiskal berhemah serta disiplin perbelanjaan dalam keadaan ketidaktentuan global.

“Dalam konteks konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan harga tenaga, rantaian bekalan dan sentimen pasaran, langkah ini wajar sebagai instrumen penstabilan awal,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ad Banner
Ad Banner

Asiyah menjelaskan dari sudut dasar awam, keberkesanan langkah tersebut bergantung kepada ketepatan sasaran pemotongan perbelanjaan yang benar-benar tidak kritikal agar tidak menjejaskan kelancaran perkhidmatan asas serta kecekapan pelaksanaan penjimatan.

“Jika kedua-dua aspek ini, iaitu ketepatan sasaran dan kecekapan pelaksanaan dipenuhi, langkah tersebut akan menjadi berkesan dan berprinsip, bukan sekadar kosmetik fiskal,” katanya sambil menekankan kepentingan pelaksanaan yang telus.

Mengulas impak pengurangan lawatan rasmi dan amalan Bekerja Dari Rumah (BDR), beliau berkata ia memberikan isyarat ekonomi tingkah laku yang penting dalam membina legitimasi dasar di mata rakyat.

“Impak tidak langsung atau ‘signaling effect’ lebih signifikan kerana ia memberi isyarat bahawa kerajaan mengamalkan mekanisme penjimatan inklusif yang turut dilaksanakan di peringkat kepimpinan,” katanya.

Sementara itu, Profesor Madya Kewangan Sekolah Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menyifatkan tindakan proaktif kerajaan itu sebagai langkah yang amat diperlukan ketika ini.

Beliau berkata ia susulan ruang fiskal kerajaan yang semakin sempit dengan kadar hutang hampir mencecah 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain risiko kejutan berkembar akibat krisis di Asia Barat.

Aimi mencadangkan agar kerajaan melaksanakan rasionalisasi bajet dengan membezakan secara lebih teliti antara perbelanjaan mengurus (OpEx) dan perbelanjaan pembangunan (CapEx) bagi memastikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Pertahankan tiga sektor utama iaitu kesihatan, pertahanan serta keselamatan makanan dan tenaga. Jangan kurangkan peruntukan dalam sektor ini,” katanya.

Beliau turut berkata pendekatan berhemah itu diyakini dapat meningkatkan keyakinan pelabur serta badan kewangan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia serta agensi penarafan kredit seperti Moody’s dan Standard & Poor’s (S&P) terhadap pengurusan kewangan Malaysia.

“Kawal perbelanjaan tidak kritikal, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur tempatan dan asing bahawa kerajaan bertindak proaktif dan bijak dalam menangani cabaran ekonomi,” katanya.

Sementara itu, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye menyokong langkah tersebut namun mengingatkan agar pemotongan kos tidak menjejaskan kebajikan asas rakyat.

“Ini langkah yang tepat dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa. Sudah tiba masanya untuk melaksanakan penjimatan melibatkan semua kementerian, jabatan dan agensi. Perbelanjaan perlu dibuat secara berhemah.

“Tiada pembaziran dana awam. Perlu kurangkan kos, tetapi bukan sehingga menjejaskan keperluan asas seperti makanan, kesihatan, perumahan dan kebajikan. Yang paling penting, tiada lagi ketirisan dan rasuah,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan menegaskan bahawa garis panduan penyelarasan perbelanjaan operasi telah dikeluarkan kepada semua kementerian bagi memastikan aktiviti dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk berjimat.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal berhemah bagi memastikan kerajaan mempunyai keupayaan kewangan mampan untuk terus membantu rakyat dalam mendepani kos sara hidup.

Arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kementerian, agensi dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC/GLC) mengecilkan skala acara rasmi dijangka membentuk budaya tadbir urus yang lebih bertanggungjawab dan berintegriti dalam sektor awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan