KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Selepas lebih sedekad menempuh pelbagai cabaran dan rawatan kesuburan, penantian sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata akhirnya menemui noktah kebahagiaan apabila mereka dikurniakan sepasang anak kembar pada 2020.
Lebih bermakna, kisah ketabahan pasangan berkenaan Nurul Zaanizila Mohd Zain, 44, dan suaminya, Mohd Azren Isa, 44, masing-masing merupakan pegawai polis berpangkat Asistan Superintenden Polis (ASP), turut mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Inspirasi Ibu pada sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Anugerah yang julung-julung kali diperkenalkan itu diberi sebagai penghargaan kepada wanita yang gigih berjuang mendapatkan zuriat selain menjadi sumber inspirasi kepada pasangan lain yang sedang menjalani rawatan subfertiliti.
Berkongsi perjalanannya mendapatkan cahaya mata, Nurul Zaanizila berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah apabila beliau dan suami terpaksa melalui pelbagai rawatan kesuburan termasuk permanian beradas (IUI) dan persenyawaan in-vitro (IVF) sebelum akhirnya dikurniakan anak kembar setelah 12 tahun berusaha.
Beliau berkata rawatan IVF di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu dijalani selepas dicadangkan rakan-rakannya dan merupakan percubaan kali ketiga selepas gagal rawatan di pusat lain sebelum itu.
“Rawatan IVF menerusi inisiatif LPPKN dibuat pada 2019. Alhamdulillah, selepas disahkan hamil saya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga sebab bimbang jika ada apa-apa risiko yang berlaku. Doa dan zikir tak pernah putus, nama Allah sentiasa dekat bibir.
“Alhamdulillah, walaupun anak dilahirkan tidak cukup bulan dan pada masa itu masuk inkubator, kini kembar lelaki dan perempuan yang sudah berusia enam tahun itu sihat,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026.
Majlis sambutan yang bertemakan “Seteguh KASIH Ibu” itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Tuanku Zara berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Nurul Zaanizila dan pasangan yang berupa plak penghargaan, jongkong emas seberat 10 gram dan barangan daripada Getha Bedding (M) Sdn Bhd bernilai RM7,535.
Sementara itu, suaminya, ASP Mohd Azren berkata perkhidmatan rawatan kesuburan di bawah program LPPKN amat baik, terutama dari segi konsultasi dan sokongan emosi kepada pesakit.
“Mereka menerangkan risiko yang akan dihadapi, mereka tidak kata pasti (akan mendapat anak), tetapi mereka juga tidak kata tiada harapan. Mereka terangkan dengan cara berhemat dan menjaga sensitiviti isteri saya,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy dalam ucapannya berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN berbesar hati memperkenalkan Anugerah Khas Inspirasi Ibu yang memberikan fokus kepada perjuangan mendapatkan zuriat atau dikenali sebagai “pejuang dua garisan”.
Beliau berkata golongan itu menjadi sumber inspirasi dan sinar harapan kepada pasangan lain yang sedang menjalani rawatan subfertiliti.
“Komitmen berterusan yang mereka tunjukkan ialah bukti kekuatan jiwa seorang wanita dalam membina sebuah keluarga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial