BANGI, 10 Mei (Bernama) -- Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dilaksanakan bagi memastikan institusi pendakwaan lebih bebas serta memperkukuh akauntabiliti, selain membolehkan Peguam Negara dipertanggungjawabkan secara terus di Parlimen tanpa bergantung pada jawapan melalui menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata langkah itu juga dapat meningkatkan ketelusan sistem perundangan negara apabila Peguam Negara tidak lagi diwakili oleh pihak lain dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, sekali gus memperkukuh prinsip semak dan imbang institusi.
“Dalam situasi hari ini, siapa jawab bagi Peguam Negara di Parlimen? Menteri Undang-Undang. Saya yang jawab bagi pihak beliau.
“Adakah adil untuk saya menjawab perkara yang saya sendiri tidak tahu sepenuhnya?” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Sesi Perjumpaan Awam Rangka Kerja Akauntabiliti MADANI 2026, di sini hari ini.
Beliau berkata dapatan kaji selidik yang dilaksanakan Gabungan Persatuan Mahasiswa Undang-Undang Kebangsaan (NLSA) terhadap 2,243 responden terdiri daripada mahasiswa undang-undang daripada 12 universiti di Malaysia mendapati, mahasiswa mahu pengasingan peranan itu disertai mekanisme pelantikan bebas, jaminan kedudukan dan pindaan undang-undang yang menyeluruh.
"Ini seperti yang sedang kita lakukan sekarang melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC)," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata PSSC sedang meneliti soal pengasingan peranan itu dan sedang berusaha mencari titik persamaan untuk memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pendakwa raya bagi menjalankan pendakwaan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Kita mahu pendakwa raya yang benar-benar bebas. Apabila bebas, mereka boleh mendakwa tanpa pilih kasih atau berat sebelah. Jika mempunyai kuasa untuk mendakwa seseorang, tetapi tidak bertindak atas sebab peribadi, itu sangat tidak adil,” katanya.
Mengulas tentang urusan pelantikan Peguam Negara, beliau berkata proses berkenaan lazimnya dilihat “terikat” dengan pelantikan politik kerana peranan jawatan itu yang berfungsi memberikan nasihat kepada kerajaan, manakala pelantikan Pendakwa Raya perlu dibuat secara berasingan bagi memastikan kebebasan institusi pendakwaan tanpa sebarang pengaruh pihak tertentu.
Azalina sebelum ini dilaporkan berkata PSCC Mengenai Pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menyasarkan untuk memuktamadkan rang undang-undang (RUU) berhubung perkara itu dalam masa terdekat sebelum dibentangkan menjelang mesyuarat terakhir pada 18 Mei ini.
Pada 3 Mac lepas, Dewan Rakyat bersetuju RUU berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas, yang dianggotai Azalina sendiri sebagai Pengerusi serta 11 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang, untuk memberikan ruang kepada semua pihak berkaitan menghalusi dan meneliti perkara itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial