KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- SME Corp Malaysia memperuntukkan dana sebanyak RM12 juta bagi memperkukuh pembangunan usahawan dan perniagaan tempatan, yang akan memanfaatkan 500 usahawan belia Bumiputera.
Agensi berkenaan dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa peruntukan itu disalurkan menerusi Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera Skala (TUBE-S) yang dilaksanakan serentak selama enam hari di tiga zon iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Majlis penutupan Program TUBE-S dan Program Tunas Usahawan (PROTAS) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2026 telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy di Hulu Langat, hari ini.
Dalam ucapannya, Rizal berkata Program TUBE yang mula diperkenalkan pada 2014 merupakan inisiatif kerajaan berimpak tinggi dalam melatih usahawan belia Bumiputera.
Beliau berkata sehingga tahun lepas, seramai 9,043 belia telah mendapat manfaat daripada program berkenaan, sekali gus melahirkan 8,805 perniagaan baharu serta mewujudkan lebih 20,000 peluang pekerjaan.
“Selain itu, usahawan belia juga berjaya menjana jualan terkumpul mencecah RM252 juta setakat ini,” katanya.
Menurut beliau falsafah SME Corp Malaysia adalah untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari peringkat awal sehingga mampu berdiri kukuh sebagai pemain industri.
“Kami bukan sekadar memberi geran, tetapi membina keyakinan, disiplin dan daya tahan.
“Saya juga menyeru peserta program agar menjadikan segala ilmu dan pengalaman sepanjang program ini sebagai bekalan paling bernilai untuk dibawa pulang dan diamalkan dalam perniagaan,” katanya.
Program TUBE-S yang diperkenalkan tahun ini merupakan kesinambungan kepada Program TUBE, iaitu program latihan keusahawanan yang menyasarkan belia Bumiputera berusia antara 18 hingga 30 tahun.
Bagi pelaksanaan TUBE-S, zon Semenanjung disertai 342 belia Bumiputera dan 50 usahawan asnaf di bawah PROTAS MAIWP, manakala di Sabah dan Sarawak masing-masing melibatkan 102 dan 43 peserta belia Bumiputera.
Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Rahman Mohd Din, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Ahmad Talmizi Yahaya serta Rektor UiTM Cawangan Kedah Prof Madya Dr Mahazir Ismail.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial