KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Kedah dan Perlis dilaksanakan hari ini sebagai langkah segera bagi mendepani situasi penyusutan paras air empangan di kedua-dua negeri itu yang kini berada pada tahap waspada dan kritikal.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kawasan tumpuan operasi melibatkan Empangan Timah Tasoh di Perlis serta empat empangan di Kedah iaitu Empangan Ahning, Pedu, Beris dan Muda.
Menurut NADMA, operasi pada hari ini menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa muatan empat tong bersamaan 6,000 liter larutan garam.
“Bagi menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, NADMA telah menyelaras pelaksanaan dua siri OPA iaitu dari 10 hingga 12 Mei serta 17 hingga 19 Mei,” menurut kenyataan itu.
Agensi berkenaan memaklumkan pelaksanaan OPA merupakan antara usaha bagi membantu meningkatkan paras air empangan daripada terus menyusut yang dikhuatiri boleh menjejaskan bekalan air untuk sektor pertanian dan kegunaan domestik di kawasan utara.
“Walaupun dalam beberapa hari kebelakangan ini terdapat hujan yang agak banyak di kawasan utara, namun kuantiti air hujan yang masuk ke dalam empangan adalah sangat minimum,” menurut NADMA.
Pada 5 Mei lepas, Perdana Menteri mengarahkan TUDM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk meningkatkan operasi pembenihan awan di utara Semenanjung susulan musim kemarau yang melanda kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial