GEORGE TOWN, 10 Mei (Bernama) -- Komuniti India di Malaysia khususnya masyarakat Tamil serta diaspora Tamil turut sama meraikan upacara angkat sumpah bintang filem yang kini ahli politik C. Joseph Vijay, 51, sebagai Ketua Menteri baharu Tamil Nadu, India, hari ini.
Di media sosial, pelbagai platform dibanjiri ucapan tahniah dengan ramai memuji perjalanan ‘Thalapathy’ Vijay daripada seorang pelakon terkenal kepada pemimpin politik. Kebangkitan beliau turut disifatkan sebagai sumber inspirasi serta simbol perubahan dalam landskap politik serantau.
Komuniti India di Malaysia turut meluahkan rasa bangga dan teruja, malah ada yang menyifatkan kejayaan itu sebagai ‘detik bersejarah buat masyarakat Tamil di seluruh dunia’. Ramai turut berkongsi rakaman video majlis angkat sumpah tersebut, sambil menyambutnya sebagai kemenangan politik berteraskan golongan muda dan kepimpinan baharu.
Seorang pengguna Instagram, Thiagaseelan Ganeson berkata detik angkat sumpah Vijay hari ini amat peribadi baginya.
“Seorang lelaki yang pernah diejek, diragui, dipandang rendah dan dipersoalkan pada setiap langkah... kini melangkah ke majlis angkat sumpah sebagai Ketua Menteri,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, M. Megala, berkongsi luahan emosi yang menggambarkan sentimen ramai peminat tegar Vijay dengan menyifatkan beliau sebagai figura yang banyak memberi pengaruh sejak zaman kanak-kanak.
“Bagi kami Thalapathyans, perjalanan ini bukan sekadar tentang filem. Ia tentang kesetiaan, emosi dan berdiri teguh bersama Thalapathy melalui setiap jatuh bangun.
“Daripada menguasai layar perak kepada memberi inspirasi kepada jutaan orang di luar dunia filem. Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan lembaran baharu yang penuh makna dalam sejarah,” katanya.
Dalam pada itu, kumpulan peminat Malaysian Vijay Fans (MVF) menganjurkan sambutan MVF-TVK Celebration di TSR Cinemax, Shah Alam hari ini bersempena upacara angkat sumpah Vijay.
“Daripada pasukan yang pertama memperkenalkan siaran langsung Mersal Audio Launch dan Sarkar Audio Launch kepada peminat di Malaysia, kami meneruskan legasi menghubungkan Malaysia dengan detik bersejarah,” menurut hantaran di Twitter.
Terdahulu, Vijay mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu pada Ahad selepas parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) berjaya memperoleh sokongan parti-parti lain bagi membentuk majoriti di 234 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
TVK muncul sebagai parti terbesar dengan 108 kerusi, namun masih gagal mencapai majoriti mudah 118 kerusi. Selepas Vijay mengosongkan satu daripada dua kerusi yang dimenanginya, kekuatan parti itu berkurangan kepada 107 kerusi.
Selepas mendapat sokongan daripada Parti Kongres, Parti Komunis India (CPI), Parti Komunis India-Marxis (CPI-M), Viduthalai Chiruthaigal Katchi (VCK) serta Indian Union Muslim League (IUML), jumlah sokongan kerusi meningkat kepada 120, melepasi ambang majoriti 118 kerusi.
Susulan majlis angkat sumpah di hadapan Gabenor Tamil Nadu, Rajendra Vishwanath Arlekar di Stadium Jawaharlal Nehru, Chennai, penyokong parti TVK meraikan kemenangan dengan menyalakan bunga api dan mengagihkan manisan di beberapa bandar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial