KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Tinjauan Kesedaran Kesihatan Mata mendedahkan lebih lapan daripada 10 responden didapati tidak pernah mendengar mengenai penyakit retina yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan kekal.
Tinjauan melibatkan lebih 800 orang dewasa daripada pelbagai latar belakang itu turut mendapati walaupun katarak dikenali secara meluas, sebanyak 81.7 peratus responden tidak pernah mendengar atau tidak pasti mengenai penyakit retina seperti degenerasi makula berkaitan usia (AMD) dan edema makula diabetik (DME).
Tinjauan itu turut menunjukkan tabiat rakyat Malaysia yang cenderung menangguhkan rawatan selagi tidak berasa sakit, dengan 81.8 peratus responden menyatakan mereka akan menunggu berminggu-minggu atau berbulan-bulan sebelum mendapatkan pemeriksaan mata.
Dapatan itu menjadi asas kepada pelancaran kempen kesedaran awam “Don’t Wait to See” yang dijalankan secara kerjasama antara Kolej Oftalmologi, Akademi Perubatan Malaysia (AMM), Diabetes Malaysia dan Bayer Malaysia bagi menggalakkan rakyat mengenal pasti perubahan penglihatan lebih awal serta menjadikan pemeriksaan mata sebagai rutin penjagaan kesihatan.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Kementerian Kesihatan Datuk Dr Nor Fariza Ngah ketika berucap pada majlis pelancaran kempen itu pada Jumaat lepas berkata kesihatan mata masih belum diberikan perhatian sewajarnya meskipun Malaysia menuju ke arah negara menua.
Dr Nor Fariza yang juga pakar oftalmologi (consultant ophthalmologist) berkata pemeriksaan mata secara berkala perlu dijadikan sebahagian daripada amalan penjagaan kesihatan.
“Dapatan (tinjauan) ini mengingatkan kita bahawa kesihatan mata tidak seharusnya dilihat secara berasingan daripada aspek kesihatan menyeluruh,” katanya.
Naib Pengerusi Bahagian Retina AMM Dr Rajasudha Sawri Rajan berkata penyakit seperti AMD dan DME sering berlaku tanpa rasa sakit pada peringkat awal.
AMD ialah penyakit yang menjejaskan makula (pusat retina) dan boleh menyebabkan penglihatan kabur atau hilang penglihatan pusat, manakala DME ialah komplikasi diabetes akibat pengumpulan cecair dalam makula sehingga boleh menyebabkan penglihatan herot dan buta, jika tidak dirawat.
“Jika garis lurus mula kelihatan beralun atau herot, itu tanda amaran. Tindakan awal amat penting untuk mengelakkan kerosakan kekal," katanya yang juga Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Retina Perubatan.
Turut senada, Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Retina Perubatan Dr Tara George berkata bagi individu yang menghidap diabetes, kesihatan mata perlu menjadi sebahagian daripada penjagaan penyakit secara rutin dan bukan sekadar diberi perhatian apabila penglihatan sudah berubah.
“Hari ini, kita mempunyai terapi berkesan bagi DME yang mampu menstabilkan dan memberikan peningkatan bermakna pada penglihatan, justeru pesakit perlu menjalani pemeriksaan retina sekurang-kurangnya sekali setahun agar rawatan dapat diberikan pada peringkat paling berkesan," katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kehormat Diabetes Malaysia yang juga Pakar Penjagaan Primer Dr Mohazmi Mohamed berkata kos, masa menunggu dan ketersediaan temu janji boleh mempengaruhi kesinambungan rawatan mata.
“Oleh itu, penjagaan mata perlu diintegrasikan dengan lebih baik dalam penjagaan diabetes dengan peringatan yang lebih jelas, rujukan lebih mudah serta sokongan praktikal bagi susulan berkala agar pesakit lebih berupaya melindungi penglihatan dalam jangka panjang,” katanya.
Ketua Jenama Fokus (Singapura, Malaysia dan Indonesia) dan Akses Pasaran APAC, Bayer Malaysia Celest Yong berkata inovasi dalam kesihatan retina kini bukan sahaja tertumpu kepada pemeliharaan penglihatan, tetapi turut menyokong rutin harian pesakit, kebebasan serta kualiti hidup mereka.
Tinjauan Kesedaran Kesihatan Mata itu merupakan soal selidik yang dihasilkan berasaskan web yang dijalankan antara 3 hingga 20 April lepas bagi memahami tabiat, persepsi serta tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai kesihatan mata dan penyakit retina.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial