Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Talentbank Umum Pemenang GCA 2026, Undian Pelajar Tentukan Majikan Terbaik Di Malaysia

11/05/2026 04:40 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Bagi ratusan ribu pelajar universiti di seluruh Malaysia, pemilihan majikan masa depan kini tidak lagi hanya berdasarkan gaji semata-mata tetapi semakin tertumpu kepada tujuan, perkembangan dan reputasi.

Perubahan pemikiran itu dicerminkan dalam Anugerah Pilihan Siswazah (GCA) 2026 yang diumumkan oleh Talentbank hari ini, yang mengiktiraf majikan paling menjadi pilihan di negara ini berdasarkan undian sepenuhnya oleh pelajar.

Talentbank dalam kenyataan memaklumkan anugerah yang kini memasuki tahun kelapan itu telah berkembang menjadi penanda aras majikan dipacu pelajar terbesar di Malaysia, menawarkan gambaran yang telus mengenai perkara yang benar-benar penting kepada tenaga kerja baharu negara.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut Talentbank, pada 2026, lebih 740,000 undian terkumpul telah dibuat oleh pelajar daripada lebih 100 universiti di seluruh negara, menjadikannya kajian persepsi majikan paling meluas dalam pasaran siswazah.

Tidak seperti anugerah konvensional yang diputuskan oleh panel industri, GCA dibentuk sepenuhnya oleh suara pelajar, memberikan majikan dan penggubal dasar gambaran langsung mengenai cara golongan muda Malaysia menilai peluang kerjaya.

Menurut Talentbank, keputusan itu menunjukkan corak yang jelas, iaitu majikan yang menggabungkan peluang perkembangan, peranan pekerjaan yang bermakna dan reputasi kukuh mendahului persaingan untuk mendapatkan bakat masa depan Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank Ben Ho berkata keputusan tahun ini menghantar isyarat yang kukuh dan boleh diukur kepada pasaran.

“Dengan lebih 740,000 undian terkumpul dibuat di seluruh negara, para pemenang 2026 mewakili organisasi yang telah memperoleh kepercayaan dan keyakinan tulen daripada pelajar universiti di Malaysia. Ini adalah gambaran langsung persepsi pasaran.

“Dalam landskap bakat yang semakin kompetitif, memahami jangkaan siswazah bukan lagi satu pilihan. Majikan yang menyelaraskan keutamaan mereka dengan keutamaan siswazah hari ini akan memperoleh saluran bakat yang lebih kukuh pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan sama.

Talentbank memaklumkan para pemenang tahun ini merangkumi pelbagai industri termasuk perkhidmatan kewangan, teknologi, barangan pengguna bergerak pantas (FMCG), penjagaan kesihatan, telekomunikasi, tenaga, perkhidmatan profesional dan platform digital.

Talentbank memaklumkan daripada syarikat multinasional hingga perusahaan tempatan terkemuka, kepelbagaian dalam senarai itu menekankan satu perkara utama, iaitu kecemerlangan majikan tidak terhad kepada mana-mana sektor tertentu tetapi ditentukan oleh sejauh mana organisasi berhubung dengan aspirasi bakat muda.

“Sebagai Penanda Aras Majikan Dipacu Pelajar Paling Berwibawa di Malaysia, GCA telah menjadi rujukan strategik bagi penjenamaan majikan merentasi pelbagai industri.

“Bagi organisasi, kedudukan tinggi dalam GCA menandakan gelombang jenama yang kukuh dalam kalangan siswazah, satu kelebihan utama bagi mendapatkan bakat kerjaya awal dalam pasaran buruh yang semakin mencabar. Bagi pelajar pula, penanda aras ini menawarkan rujukan yang dipercayai ketika membuat keputusan kerjaya,” menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan penanda aras itu kekal relevan, Talentbank memaklumkan metodologi tinjauan mereka akan dikaji semula setiap dua tahun menerusi Graduate Employability Bootcamp dengan kerjasama penggubal dasar.

Talentbank memaklumkan susulan pengumuman itu, pengundian bagi GCA 2027 kini dibuka kepada pelajar universiti di seluruh negara, meneruskan kitaran yang menyaksikan suara pelajar membentuk majikan masa depan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan