Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TEKUN Nasional Benteng Lindungi PMKS Ketika Krisis - Sim

12/05/2026 10:36 AM

BANGI, 12 Mei (Bernama) -- Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) memainkan peranan penting sebagai benteng dalam membantu dan melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan pelbagai krisis global, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.

Beliau berkata dalam keadaan dunia yang semakin mencabar, TEKUN Nasional kini memikul tanggungjawab lebih besar bagi memastikan usahawan, khususnya Bumiputera, terus bertahan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Memang kita menghadapi pelbagai jenis cabaran, antaranya yang kadangkala berada di luar kawalan negara seperti krisis geopolitik, geoekonomi, gangguan bekalan minyak dan tenaga, perang perdagangan serta lain-lain cabaran global.

Ad Banner
Ad Banner

“Andalah (TEKUN Nasional) yang menjadi benteng barisan hadapan untuk bukan sahaja melindungi mereka (usahawan), malah membantu melonjakkan perniagaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi TEKUN Nasional 2026, di sini semalam.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita, Sim mencadangkan TEKUN Nasional mengamalkan pendekatan 3C iaitu cekap dan cepat, cermat serta canggih, bagi memastikan ia terus relevan dan dapat memainkan peranannya membantu usahawan PMKS dengan lebih berkesan.

Beliau berkata dari segi cekap dan cepat, permohonan serta kelulusan pembiayaan perlu diproses dalam tempoh sesingkat mungkin.“Kalau dulu dia mungkin perlukan dua minggu hingga sebulan ataupun sebulan lebih, tetapi sekarang ia (perlu diselesaikan dalam tempoh) tujuh hari,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Mengenai elemen cermat, Sim berkata TEKUN perlu meneliti setiap permohonan bagi mengelakkan usahawan dibebankan dengan hutang yang tidak mampu dibayar.

“Beri bimbingan kepada semua usahawan di bawah TEKUN Nasional supaya mereka boleh berjaya dalam bisnes masing-masing dan akhirnya mampu membayar hutang kepada TEKUN,” katanya.

Beliau berkata aspek ketiga iaitu canggih pula menuntut TEKUN Nasional membantu usahawan menceburi sektor berteknologi dan bernilai tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan digital.

Pada Majlis Apresiasi TEKUN Nasional 2026, Sim meraikan dedikasi dan sumbangan warga TEKUN Nasional dalam memperkasakan perniagaan di Malaysia dengan sebanyak lima kategori anugerah disampaikan kepada 247 penerima.

Turut hadir Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Timbalan Menteri KUSKOP Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Sementara itu, Pengurus TEKUN Nasional Negeri Pahang Hassan Anuar yang turut menerima Anugerah Negeri Terbaik serta Anugerah Keunggulan berkata peruntukan tambahan yang diumumkan Sim, diyakini dapat membuka lebih banyak peluang kepada usahawan untuk mendapatkan pembiayaan dan memperkukuh perniagaan masing-masing.

“Saya mengharapkan kepada semua usahawan di luar sana datang ke pejabat TEKUN, berjumpa dengan kami dan mengambil peluang ini, kerana kerajaan menyediakan dana yang cukup banyak.

“Ini satu peluang yang perlu digunakan sebaik mungkin oleh usahawan-usahawan di luar sana, supaya mereka menjadi lebih berjaya, berdaya saing dan mampu bertahan menghadapi krisis ekonomi serta cabaran perniagaan ketika ini,” katanya.

Penerima Anugerah Prestasi Kutipan Individu Terbaik, Adam Naquiddin Abd Rahim yang merupakan Pembantu Pegawai di cawangan Seremban pula menzahirkan penghargaan kepada pengurusan TEKUN Nasional atas sokongan berterusan yang diberikan.

“Kejayaan ini bukan sahaja milik saya seorang, tetapi milik seluruh keluarga TEKUN Nasional dan saya berharap dapat terus bersama-sama membantu usahawan serta bakal usahawan TEKUN Nasional mencapai kejayaan pada masa depan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan