KUCHING, 12 Mei (Bernama) -- Loji Hidrogen Rembus di Samarahan dijangka menghasilkan satu tan hidrogen sehari menjelang suku pertama 2027 bagi menyokong sistem pengangkutan awam berkuasa hidrogen di Sarawak.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata loji itu kemudiannya akan memperluas kapasiti pengeluaran hidrogen secara berperingkat pada tahun-tahun berikutnya.
Beliau berkata loji itu sedang dibangunkan bagi menyokong Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS), yang akan menggunakan kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) dan bas pengantara berkuasa hidrogen.
“Secara keseluruhan, pembangunan hidrogen Sarawak dilaksanakan secara praktikal dan progresif, dengan mengimbangi kesiapsiagaan eksport serta pembangunan pasaran domestik, di samping membangunkan keupayaan tempatan dan mewujudkan nilai mampan jangka panjang untuk Sarawak,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan See Chee How (Bebas-Batu Lintang) mengenai prospek semasa usaha Sarawak untuk mentransformasikan negeri itu menjadi hab tenaga hidrogen bersih.
Dr Hazland berkata Sarawak kekal komited membangunkan ekonomi hidrogen bersih sebagai sebahagian daripada aspirasi lebih luas untuk meletakkan negeri itu sebagai hab tenaga bersih serantau.
Beliau berkata pendekatan negeri itu dilaksanakan secara tersusun dan berfasa dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan keseluruhan rantaian nilai hidrogen daripada pengeluaran hingga pemprosesan pertengahan, penggunaan domestik serta peluang eksport pada masa depan.
Sementara itu, beliau berkata Sarawak akan memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dan mengurangkan penggunaan arang batu.
“Arang batu memainkan peranan dalam memastikan kestabilan grid dan bekalan tenaga yang boleh dipercayai. Bagaimanapun, Sarawak telah mengambil langkah jelas untuk mengurangkan kebergantungan terhadap arang batu.
“Loji Janakuasa Arang Batu Balingian yang mula beroperasi pada 2019 akan menjadi projek berasaskan arang batu terakhir di Sarawak bagi tempoh yang boleh dijangka, dan perancangan sedang dilaksanakan untuk menamatkan operasi loji arang batu lama secara berperingkat,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial