SHAH ALAM, 12 Mei (Bernama) -- Sebanyak 19 kilang yang beroperasi secara haram selama lebih 20 tahun di Pulau Indah, Klang dirobohkan dalam Operasi Tindakan Penguatkuasaan Perobohan Bersepadu di negeri berkenaan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim berkata operasi melibatkan 300 anggota daripada pelbagai agensi itu dilaksanakan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara terhadap premis yang beroperasi tanpa pematuhan sewajarnya.
“Berdasarkan maklumat Pejabat Daerah dan Tanah Klang, pengusaha terlibat menjalankan operasi kilang tanpa kebenaran di tapak itu bagi tempoh yang lama, dianggarkan lebih 20 tahun.
“Semakan juga mendapati tiada rekod Lesen Pendudukan Sementara (LPS) pernah diberikan kepada mana-mana pemilik kilang di tapak berkenaan. Beberapa permohonan pemberimilikan tanah yang diterima sekitar 2019 hingga 2020 juga ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ng berkata operasi itu tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa malah proses libat urus awal dan arahan pengosongan tapak dimulakan pada awal 2025, sebelum notis pertama diserahkan pada 3 Mac 2025.
Beliau berkata tindakan berperingkat seperti lawatan tapak, pemantauan, pemasangan kain rentang dan hebahan dilaksanakan pada 19 Sept 2025 selain penyerahan atau penampalan notis terakhir pada 7 April 2026, dan penetapan tarikh akhir pengosongan sebelum operasi perobohan pada 10 Mei 2026.
Menurut Ng, dalam tempoh itu kerajaan negeri turut mengambil kira pandangan, permohonan dan rayuan penangguhan daripada pihak-pihak berkepentingan bagi memberi ruang yang munasabah untuk menguruskan pemindahan operasi, pekerja, aset dan kelengkapan syarikat masing-masing.
“Namun selepas tempoh itu tamat, undang-undang tetap perlu dikuatkuasakan. Tanah kerajaan mesti dipelihara, kawasan industri perlu disusun semula dan kepentingan awam tidak boleh terus terjejas oleh aktiviti yang tidak mematuhi undang-undang,” katanya.
Ng berkata kewujudan kilang tanpa kebenaran menjejaskan imej kawasan industri, kawalan alam sekitar, sistem saliran, keselamatan dan akses logistik selain mewujudkan persaingan tidak adil kepada pengusaha sah yang telah mematuhi syarat lesen, cukai, kelulusan pembangunan serta keperluan teknikal.
Beliau berkata penguatkuasaan itu penting untuk memulihkan integriti tanah kerajaan dan menstrukturkan semula kawasan industri secara lebih teratur.
“Selepas operasi perobohan selesai, tumpuan akan diberikan kepada pembersihan tapak, pengurusan sisa perobohan, pemantauan keselamatan dan penilaian keperluan pemulihan tanah.
“Tapak ini seterusnya akan dilihat semula dalam kerangka pembangunan yang lebih terancang, selaras dengan Rancangan Tempatan, garis panduan perancangan dan keperluan teknikal pihak berkuasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial