PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang bersara hari ini menyeru warga SPRM agar memberikan kerjasama penuh kepada kepimpinan baharu serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan suruhanjaya itu.
Azam berkata semangat kebersamaan atau esprit de corps dalam SPRM penting bagi memastikan suruhanjaya itu kekal relevan dan berjaya dalam agenda pembanterasan rasuah.
“Kalau sekiranya pegawai-pegawai (SPRM) tidak memberi kerjasama, (ini) bermakna mereka mensabotaj organisasi itu sendiri. Ini penting (untuk memberi kerjasama). Dalam mana-mana organisasi, kita semua mesti taat kepada pemimpin walaupun pemimpin itu bukan kehendak kita dan sebagainya.
“Bila datang kepimpinan baharu, ini yang saya tekankan kerana pengalaman saya dahulu… datanglah siapa pun jadi ketua, kita akan taat kerana kita kekal di sini sebagai pegawai yang akan berkhidmat untuk rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penghargaan Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM, di sini, hari ini.
Azam juga berharap agar warga SPRM dapat meneruskan usaha dan tindakan berkesan dalam membanteras rasuah sehingga peringkat akar umbi.
“Yang paling penting adalah organisasi ini kekal relevan sepertimana yang dibina dahulu oleh kepimpinan yang terdahulu dan saya hanya meneruskan legasi yang ditinggalkan demi negara dan juga rakyat,” katanya.
Mengenai perancangan selepas bersara, Azam berkata beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat dan negara dalam menegakkan tata kelola yang baik serta menyokong usaha pembanterasan rasuah oleh SPRM.
“Saya tetap akan bekerja dan berkhidmat kepada rakyat selagi mana tenaga saya diperlukan. Saya juga akan cuba membantu apa yang boleh berdasarkan pengalaman saya dalam menegakkan tata kelola yang baik, integriti dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu Azam turut merakamkan penghargaan kepada warga media yang memainkan peranan membantu menyalurkan maklumat serta menyokongnya sepanjang beliau memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
"Saya memang amat terharu atas sokongan semua rakan media sama ada media portal, media elektronik, mainstream (arus perdana) dan sebagainya,” katanya.
Azam yang dilahirkan pada 12 Mei, 1963, di Negeri Sembilan dan memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Jurisprudens (Eksternal) dari Universiti Malaya memulakan kerjaya sebagai pegawai siasatan di Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 8 Mei 1985 sebelum agensi penguasa itu dinaik taraf menjadi suruhanjaya pada 2009.
Sepanjang tempoh 42 tahun dalam perkhidmatan awam, beliau telah menggalas pelbagai jawatan penting dalam SPRM termasuk sebagai Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac 2020.
Pada 25 April lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, berkuat kuasa 13 Mei.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial