KOTA KINABALU, 12 Mei (Bernama) -- Kerajaan telah meluluskan siling pembangunan RM12.02 bilion untuk Sabah bagi membiayai 1,173 program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata peruntukan besar itu bagaimanapun bukan sekadar soal perbelanjaan, sebaliknya memfokuskan kepada kelancaran pelaksanaan, impak serta memastikan arus pembangunan benar-benar sampai kepada komuniti di seluruh Sabah.
“Ini menjadikan peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah negeri ini,” katanya pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) Borneo dan BuildXpo di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan negeri.
Hajiji berkata industri pembinaan memainkan peranan utama dalam transformasi negeri dengan pelbagai pembangunan infrastruktur sedang rancak berjalan, merangkumi jalan raya, kemudahan kesihatan, utiliti dan jaringan digital.
"Lebuhraya Pan Borneo khususnya menggambarkan momentum ini. Ia bukan sekadar mewujudkan hubungan, malah membuka peluang ekonomi dan meningkatkan akses di seluruh negeri.
"Pusat bandar kita seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau juga sedang berkembang menjadi hab moden dan dinamik yang mencerminkan Sabah baharu yang sedang kita bina," katanya.
Berdasarkan cabaran pelaksanaan projek sebelum ini, Hajiji berkata keutamaan kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang adalah untuk mempercepatkan sistem penyampaian, memperkukuh koordinasi dan memastikan projek dilaksanakan dengan nilai yang berkekalan.
Beliau berkata tumpuan juga akan diberikan kepada strategi memperkukuh jaringan perhubungan menerusi rangkaian pengangkutan, sistem logistik dan pembangunan pelabuhan bagi memacu perdagangan serta pertumbuhan ekonomi.
"Strategi lain termasuk memperluas akses kepada perumahan mampu milik bagi menterjemahkan pembangunan kepada penambahbaikan nyata dalam kehidupan rakyat Sabah, serta meningkatkan standard industri menerusi tadbir urus yang lebih baik dan akauntabiliti yang lebih tinggi," katanya.
Menyifatkan penganjuran ICW Borneo sebagai platform penting yang menghimpunkan idea dan kepakaran, Hajiji berkata Sabah sentiasa terbuka untuk perniagaan dan bersedia menerima pelaburan jitu demi kemajuan negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial