Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPWKM Rancang Tiga Anjung Kasih Tahun Ini, Seru Sokongan Syarikat Korporat

13/05/2026 12:47 PM

GEORGE TOWN, 13 Mei (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merancang mewujudkan tiga lagi Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di hospital kerajaan bagi menyediakan penginapan sementara kepada waris pesakit kurang berkemampuan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata kemudahan baharu itu dirancang di Segamat, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu dan Pulau Pinang dalam usaha memperluas kemudahan kepada waris yang menunggu ahli keluarga menerima rawatan.

“Anjung Kasih, inisiatif kebajikan di bawah KPWKM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan memberi ruang kepada waris untuk terus berada di sisi insan tersayang tanpa dibebani kos penginapan yang tinggi, sekali gus meringankan tekanan emosi dan kewangan keluarga.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita mahu membantu waris pesakit dari luar kawasan dan terpaksa tinggal berhampiran hospital bagi menemani ahli keluarga mereka menerima rawatan dengan menjimatkan kos penginapan antara RM100 hingga RM150 sehari jika mereka perlu menginap di hotel,” katanya.

Lim berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Anjung Kasih YKN Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YKN Nordina Haron dan Pengarah HPP Dr Goh Hin Kwang.

Beliau berkata sehingga kini sebanyak 19 Anjung Kasih YKN beroperasi di seluruh negara hasil kerjasama strategik antara kerajaan dan rakan korporat yang prihatin antaranya Tenaga Nasional Bhd, Sunway Group, Petronas serta Bintulu Port Holdings Bhd.

Ad Banner
Ad Banner

Bagaimanapun, Lim berkata banyak hospital selain di ibu negeri memohon supaya Anjung Kasih diwujudkan di hospital mereka.

Ahli Parlimen Tanjong itu menyeru lebih banyak syarikat korporat tampil menyokong inisiatif Anjung Kasih melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat kebajikan tersebut pada masa hadapan.

Sementara itu, Nordina berkata kos bagi setiap Anjung Kasih dianggarkan antara RM1 juta hingga RM1.5 juta bergantung kepada saiz bangunan yang diperoleh, dengan sehingga kini lebih 30,000 waris pesakit telah menggunakan kemudahan itu di seluruh negara sejak 2008.

“Perkhidmatan Anjung Kasih dibina dengan konsep selesa, selamat dan berkualiti demi memastikan kebajikan golongan sasar terjamin terutama kepada waris yang tinggal jauh dari hospital dan tidak mampu menyewa hotel atau bilik penginapan,” katanya.

Suri rumah dari Lunas, Kedah Rashimah Aboo Hassan, 57, berkata kemudahan di Anjung Kasih HPP sangat selesa dan membantu dirinya sepanjang menemani anaknya Muhammad Amzar Mohd Nazaidi, 20, yang menerima rawatan leukemia di hospital itu.

Wanita itu berkata menetap di Anjung Kasih selama 49 hari dan kemudahan percuma di situ banyak membantu meringankan beban keluarga terutama ketika perlu berada lama di hospital bagi rawatan anak bongsunya.

“Kalau hendak berulang-alik setiap hari memang jauh dan banyak menggunakan duit kerana jarak dari rumah ke hospital kira-kira 40 kilometer. Di Anjung Kasih saya boleh mandi dan berehat, kalau tiada kemudahan ini mungkin saya cuma tunggu di wad sebab agak mahal untuk sewa hotel,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan