LUMUT, 13 Mei (Bernama) -- Tiga lagi mayat wanita ditemukan, dipercayai mangsa bot membawa pendatang tanpa izin warga Indonesia, yang tenggelam di perairan Pulau Pangkor pada Isnin lepas.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu DSP Mazre Che Mahmod berkata mayat ketiga-tiga mangsa itu dijumpai oleh aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sri Indera Sakti, kira-kira 20 batu nautika dari lokasi kejadian anggaran pukul 6 petang, semalam.
“Buat masa ini, siasatan berhubung identiti ketiga-tiga mangsa masih dalam siasatan pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Mazre berkata penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa bot karam yang ditemukan setakat ini ialah 30 orang, selepas 23 daripadanya berjaya diselamatkan pada hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Isnin.
“Kita masih mengesan tujuh lagi mangsa insiden tersebut, operasi SAR yang masuk hari ketiga melibatkan PPM, TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bermula kira-kira 7 pagi tadi,” katanya.
Sementara itu, operasi SAR hari ini melibatkan dua aset PPM, iaitu PSC 16 dan PSC 24, tiga aset TLDM terdiri daripada KD Sri Indera Sakti, FCB 1001 dan FCB 1030, selain tiga aset APMM membabitkan Kapal Maritim (KM) Malawali, BENTENG 1203 serta pesawat Bombardier CL415MP dari Stesen Udara Subang.
Semalam, APMM Perak berjaya menyelamatkan 23 pendatang warga Indonesia, selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Pulau Pangkor dekat Lumut, pada Isnin.
Bot terbabit dipercayai membawa 37 pendatang tanpa izin dari Indonesia dan dikendalikan kru warga Myanmar.
Kesemua mereka dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei menuju ke Malaysia melibatkan beberapa destinasi dipercayai Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial