Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 13 Mei (Bernama) -- Sabah mempunyai potensi besar untuk mengukuhkan daya saing perdagangan dan daya tahan ekonomi jika cabaran logistik dan kecekapan pelabuhannya ditangani dengan baik, menurut Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM) Sabah.
Pengerusi CILTM Daniel Doughty berkata dengan meningkatkan kecekapan aliran kargo dan mengurangkan masa menunggu kapal, ianya mampu melonjakkan kebolehpercayaan rantaian bekalan, keyakinan pelabur serta mengurangkan kos perniagaan, seterusnya memberi manfaat kepada pengilang, pengeksport, pengimport dan pengguna di seluruh ekonomi negeri.
Data produktiviti dan prestasi kapal dari Januari 2023 hingga April 2026 menunjukkan bahawa waktu menunggu kapal dan tempoh berlabuh pelabuhan secara menyeluruh telah naik mendadak walaupun terdapat perkembangan positif dalam beberapa penunjuk produktiviti dermaga.
"Selama bertahun-tahun, perbincangan mengenai kesesakan pelabuhan di Sabah sering dianggap sebagai gangguan operasi sementara.
"Anggapan itu tidak lagi mampan. Data menggambarkan imej yang jauh lebih serius. Sabah semakin berdepan dengan isu tekanan rantaian bekalan sistemik,” katanya kepada Bernama hari ini.
Doughty berkata demikian ketika mengulas kritikan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) cawangan Sabah yang mengutarakan bahawa kesesakan di pelabuhan Sabah telah menjadi krisis logistik buatan manusia, dengan operasi pelabuhan mencapai "keadaan kelumpuhan".
Pengerusi FMM Sabah, Liaw Hen Kong dilaporkan telah memetik gangguan teruk pada trak kontena, keengganan kapal untuk singgah, peralihan kontena serta kelewatan masuk dan keluar yang berpanjangan, sambil mengkritik "Surcaj Kesesakan" dan "Kenaikan Kadar Am" yang dikenakan oleh operator penghantar berkuat kuasa 7 Mei.
Di bawah surcaj itu, penghantaran kontena milik pengangkut ke dan dari Kota Kinabalu akan menokok sebanyak RM500 untuk 20-kaki dan RM1,000 untuk 40-kaki, manakala kontena milik penghantar akan dikenakan caj US$130 untuk 20-kaki dan US$260 untuk 40-kaki (US$1=RM3.9).
Doughty berkata pelabuhan moden diukur bukan sahaja dengan produktiviti kren tetapi dengan jumlah kecekapan aliran sistem, dari ketibaan kapal kepada pemindahan kargo dan pengagihan daratan.
Waktu menunggu kapal domestik telah mencapai tahap berkenaan pada 2024, 2025 dan sekali lagi pada 2026, dengan beberapa tempoh melebihi 100 jam sebelum berlabuh.
Doughty berkata kelewatan sebegini amat mengganggu jadual penghantaran, penempatan semula kontena, ketersambungan pengagih, penggunaan anak kapal, kecekapan bahan api dan perancangan penempatan armada, ini akan memaksa syarikat perkapalan mendapatkan kosnya semula melalui kadar tambang, surcaj dan premium risiko yang lebih mahal.
"Akhirnya, ekonomi Sabah yang akan menyerap kos, dengan pengguna membayar lebih, perniagaan menghadapi overhed logistik yang lebih tinggi dan pengeksport kehilangan daya saing.
"Inilah sebabnya kesesakan pelabuhan tidak boleh dilihat secara sempit sebagai masalah operator pelabuhan, tetapi sebagai masalah sistem ekonomi," katanya.
Walaupun pergerakan kasar sejam (GMPH) untuk operasi kapal domestik telah bertambah baik pada 2024 dan 2025, ada masanya sehingga melangkaui 22 GMPH, kesesakan terus bertambah buruk, menunjukkan kelemahan struktur dalam ekosistem logistik yang lebih luas.
Beliau berkata sesebuah pelabuhan amat berkait rapat dengan proses kastam, ketersediaan trak, operasi depoh, kapasiti gudang, tingkah laku pengumpulan pengimport, rangkaian pengedaran atas darat dan kitaran pelepasan kargo.
"Apabila sistem ini tidak sejajar, kontena terpaksa dibiar lama di kawasan terminal, ketumpatan halaman melonjak, pusingan trak menjadi lemah dan barisan kapal mula terbentuk di luar pesisir. Sebaik kitaran ini bermula, kesesakan secara sendirinya menjadi lebih serius," kata Doughty.
Ketidakstabilan pelabuhan yang menjadi pintu masuk yang berpanjangan boleh menjejaskan keselamatan makanan Sabah, bahan binaan, peralatan perindustrian, barangan runcit, input pembuatan, kargo berkaitan tenaga dan sektor eksport, termasuk aktiviti hiliran minyak sawit, pembuatan, produk beku, pertanian serta kargo projek.
Keyakinan pelabur juga akan terjejas apabila pelabur menilai kecekapan dan kebolehramalan infrastruktur rantaian bekalan, kata Doughty.
"Pelabuhan mewakili aliran perdagangan dan kesesakan berterusan menandakan ketidaktentuan operasi," katanya.
Data kesesakan harus dianggap sebagai amaran strategik yang mendesak bagi Sabah untuk meneruskan reformasi logistik yang diselaraskan, berasaskan bukti serta peringkat sistem dan bukannya seperti "operasi memadam kebakaran" jangka pendek.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial