KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perkembangan cuaca semasa susulan negara dijangka memasuki fasa Monsun Barat Daya bermula esok hingga September ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata fasa monsun itu lazimnya membawa taburan hujan lebih rendah selain cuaca lebih panas dan kering di kebanyakan kawasan.
"Sehubungan itu, saya ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan perkembangan cuaca semasa, menggunakan air secara berhemat serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan jerebu dan pencemaran alam sekitar," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata hujan lebat, angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di beberapa kawasan tertentu dalam tempoh berkenaan.
Fenomena garis badai itu berpotensi berlaku di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah terutama pada awal pagi dan boleh berlarutan hingga beberapa jam.
Justeru, beliau meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada dan merujuk maklumat cuaca terkini yang sahih melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
"Semoga kita semua sentiasa dilindungi dan dipermudahkan segala urusan, insya-Allah," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial