| BERITA TERGEMPAR | Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | |
IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Perubahan tingkah laku dialami gajah yang dinamakan Kelat berkait dengan fasa musth atau turun minyak iaitu keadaan biologi semula jadi yang dialami oleh gajah jantan matang.
Kelat antara tiga gajah yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun menerusi perjanjian kerjasama selama 25 tahun dengan Zoo Taiping & Night Safari yang diwakili Majlis Perbandaran Taiping (MPT). Dua lagi ialah Dara dan Amoi.
Yang Dipertua MPT Mohamed Akmal Dahalan berkata dalam tempoh musth, perubahan hormon testosteron boleh menyebabkan tingkah laku menjadi lebih aktif, sensitif atau agresif berbanding kebiasaan dan keadaan itu normal serta sentiasa dipantau secara rapi oleh penjaga zoo dan veterinar di Zoo Tennoji.
“Sepanjang tempoh musth, beberapa pemerhatian dan langkah pengurusan khas telah dilaksanakan termasuk pemantauan tingkah laku harian dan tahap agresif, pemeriksaan fizikal secara berkala oleh pegawai veterinar serta pengasingan terkawal bagi memastikan keselamatan haiwan dan petugas.
“Pemantauan pengambilan makanan, air serta najis dan urin turut dilaksanakan selain pengurusan persekitaran bagi mengurangkan tekanan dan rangsangan luar serta program pengayaan dilaksanakan secara berterusan bagi menyokong kebajikan dan memastikan tingkah laku haiwan kekal stabil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohamed Akmal berkata dakwaan Kelat mengalami masalah ocular atau sakit mata tidak tepat kerana perubahan pada bahagian mata haiwan itu berkait dengan perubahan fisiologi semasa fasa musth, khususnya pembengkakan pada temporal gland yang boleh memberi sedikit tekanan pada kawasan sekitar mata.
“Keadaan ini antara tindak balas semula jadi yang lazim berlaku pada gajah jantan matang ketika melalui fasa itu. Pihak Zoo Tennoji turut mendapatkan khidmat Elephant Business Inc bagi melaksanakan latihan kepada petugas dalam aspek pengurusan dan pengendalian gajah secara Protected Contact.
“Pendekatan ini merupakan kaedah pengurusan yang selamat dan sistematik bagi memastikan pemantauan kesihatan, penjagaan harian serta pemeriksaan veterinar dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di samping menjamin kebajikan gajah sentiasa diberi perhatian dan dipelihara dengan baik,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga menegaskan dakwaan aktiviti force breeding adalah tidak benar sama sekali dan perkara itu tidak pernah berlaku dan sememangnya tidak dibenarkan berdasarkan syarat serta ketetapan yang telah dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.
Mohamed Akmal berkata pihak Zoo Tennoji memaklumkan serpihan gading milik Kelat telah ditemukan di dalam kawasan kurungannya dan dipercayai tertanggal secara semula jadi akibat penggunaan harian.
Beliau berkata pemeriksaan veterinar mendapati tiada kecederaan serius atau pendarahan berlaku dan keadaan Kelat adalah stabil dengan bahagian terlibat kini dipantau secara berkala bagi memastikan tiada jangkitan atau komplikasi lanjut berlaku.
“Pihak MPT akan terus bekerjasama rapat dengan Zoo Tennoji serta pihak berkaitan bagi memastikan tahap kebajikan, kesihatan dan pengurusan semua gajah sentiasa berada dalam keadaan terbaik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial