BERITA TERGEMPAR   Over RM15 billion in financing support provided to micro, small and medium enterprises this year - MoF | 
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ombudsman Tangani Kebocoran Identiti Pemberi Maklumat Melalui Sistem Berpusat

14/05/2026 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Ombudsman Malaysia yang dicadangkan dijangka berperanan sebagai mekanisme utama untuk memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, termasuk mencegah kebocoran identiti pengadu menerusi sistem pengurusan aduan berpusat di bawah satu agensi.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Dasar dan Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) Dr Nur Faiza Iskak berkata cadangan itu bertujuan memperkukuh sistem sedia ada susulan kes pemberi maklumat berdepan tindakan balas selepas membuat aduan kepada agensi penguatkuasaan.

“Terdapat banyak situasi yang memerlukan kita meningkatkan kepercayaan rakyat dan pemberi maklumat berharap mendapat perlindungan lebih baik daripada agensi penguatkuasaan,” katanya pada sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) bersama Dewan Perniagaan di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Selain Nur Faiza, panelis lain terdiri daripada Pengarah Bahagian Reformasi Sektor Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam Syuhaida Abdul Wahab Zen; Pengarah Seksyen Daya Saing Negara, Perbadanan Produktiviti Malaysia Wan Fazlin Nadia Wan Osman dan Ketua Pasukan Pengurusan Projek Sistem eWORKS, Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan Malaysia Ahmad Fauzi Sungip.

Nur Faiza berkata di bawah mekanisme yang dicadangkan itu, semua pendedahan dan aduan akan disalurkan terus kepada Ombudsman Malaysia untuk perlindungan, berbanding dihantar kepada pelbagai agensi penguatkuasaan seperti yang diamalkan ketika ini.

“Apa yang kami cuba lakukan ialah selepas Ombudsman Malaysia dilaksanakan nanti, semua pendedahan akan disalurkan kepada satu unit di bawah institusi ombudsman,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata inisiatif pemusatan itu dijangka menjadi langkah menangani kebocoran maklumat, khususnya membabitkan identiti pemberi maklumat, di samping memastikan perlindungan lebih kukuh dapat dikekalkan.

“Jadi, institusi itu hanya akan menyalurkan aduan kepada agensi penguatkuasaan untuk siasatan. Tiada pendedahan identiti akan dikongsi dan ini memastikan perlindungan ketat terhadap identiti pemberi maklumat,” katanya.

Pada 10 Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata cadangan Ombudsman Malaysia bertujuan menangani persepsi rakyat terhadap ketelusan proses aduan dalaman dan tidak bermaksud mekanisme sedia ada tidak berkesan.

Azalina berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) bukan tidak berkesan, namun tertakluk kepada persepsi rakyat berkaitan ketelusan dan hasil aduan kerana ia beroperasi dalam struktur pentadbiran kerajaan.

Sementara itu, Wan Fazlin Nadia ketika menyentuh mengenai Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) berkata kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan 500 projek RKB tahun ini sebagai sebahagian usaha mempercepat reformasi sektor awam serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada perniagaan dan rakyat.

Beliau berkata RKB penting dalam mewujudkan ekosistem kondusif bagi pertumbuhan perniagaan dengan mengurangkan kerenah birokrasi, sekali gus membolehkan syarikat memberi lebih tumpuan kepada inovasi, pengembangan perniagaan dan pembangunan bakat.

“Daripada 325 projek yang berjaya disiapkan sepenuhnya tahun lepas, penjimatan kos pematuhan yang direkodkan berjumlah sekitar RM2 bilion yang memberi manfaat kepada perniagaan dan juga rakyat. Ini bukan penjimatan di pihak kerajaan tetapi penjimatan hasil pengurangan proses dan prosedur yang memberi manfaat kepada perniagaan serta rakyat,” katanya.

RTD itu dianjurkan oleh Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku sekretariat utama Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bersama Institut Integriti Malaysia dan dirasmikan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Lebih 100 wakil dewan perniagaan yang mewakili komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa menyertai RTD itu yang bertujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada komuniti perniagaan dalam dan luar negara selain memperkukuh perkongsian maklumat antara kumpulan terbabit.

Ia akan membolehkan kerajaan merangka dasar yang lebih inklusif serta mampu menyokong pertumbuhan ekonomi mampan, inovatif dan lebih berdaya saing.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan