KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus diperkukuh sebagai institusi teras pemerkasaan bumiputera melalui agenda pembangunan secara lebih adil, inklusif dan menyeluruh.
Beliau berkata usaha itu boleh dilaksanakan melalui akses pendidikan berkualiti, latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kemahiran, pembiayaan pendidikan, pembangunan usahawan serta sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana.
Anwar berkata perkara itu dimaklumkan dan ditekankan beliau ketika mengadakan perjumpaan khas bersama pengurusan tertinggi MARA hari ini demi memastikan agenda pemerkasaan bumiputera terus dipacu dengan tadbir urus yang baik, berintegriti dan berkesan.
“Menerusi dasar yang diperjuangkan MARA, lebih ramai pekerja mahir dan separa mahir selain profesional dan usahawan tempatan yang berdaya saing dapat dilahirkan lantas menyumbang kepada tenaga kerja di negara ini.
“Natijahnya, ini sekali gus meningkatkan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam ekonomi negara selari dengan keperluan semasa dan cabaran masa hadapan,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Perdana Menteri berkata menerusi pelbagai inisiatif transformasi dan program penskalaan usahawan, MARA juga telah memberi manfaat kepada jutaan pelajar serta usahawan bumiputera dalam memperkukuh mobiliti sosial dan penguasaan ekonomi negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial