Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MOT Lulus RM1.5 Juta Bina, Naik Taraf Hentian Bas Di KL

15/05/2026 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 juta kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membina dan menaik taraf hentian bas di ibu negara.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah itu susulan aduan pengguna pengangkutan awam mengenai kekurangan hentian bas yang sempurna di beberapa lokasi di sekitar ibu negara.

“Antara aduan sering kita terima daripada warga kota yang menggunakan pengangkutan awam (ialah) kadang kala menaiki bas tepi jalan saja, tiada satu hentian bas yang teratur, tiada kawasan atau papan tanda. Jadi kita hendak perbaiki perkara ini,” katanya dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Stesen Keretapi Segambut Utara di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Loke berkata menerusi peruntukan itu, kira-kira 100 hentian bas dapat dibina atau dinaik taraf mengambil kira kos bagi sebuah hentian bas dianggarkan antara RM15,000 hingga RM30,000.

Beliau berkata projek sama telah dilaksanakan oleh MOT dengan usaha sama pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang sebelum ini.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita harap DBKL lebih cepat daripada Pulau Pinang. Kalau Pulau Pinang mengambil (masa) enam bulan, DBKL boleh siap dalam tiga bulan untuk 100 hentian bas ini,” katanya.

Pada masa sama, Loke merakamkan penghargaan kepada DBKL atas komitmen meneruskan perkhidmatan Bas GoKL secara percuma kepada warga kota.

Beliau berkata bas GoKL kini turut ditambah baik termasuk penggunaan bas elektrik bagi meningkatkan pengalaman pengguna pengangkutan awam di ibu negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan