Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPPM Baca Khutbah Jumaat Di Masjid Negeri Perak Sempena Sambutan Hari Guru

15/05/2026 03:26 PM

IPOH, 15 Mei (Bernama) -- Buat julung kalinya Ketua Pengarah Pendidikan (KPPM) Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, tampil menyampaikan Khutbah Jumaat di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini hari ini, bersempena dengan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan.

Khutbah bertajuk “Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera” itu, menekankan peranan guru sebagai penyambung risalah Rasulullah SAW dalam mendidik dan membina insan yang menjadi khazanah berharga kepada agama, bangsa dan negara.

Mohd Azam ketika menyampaikan khutbah Jumaat berkata guru merupakan insan mulia yang memikul tanggungjawab fardu kifayah, untuk mencerahkan minda serta mengasuh anak didik dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan. 

Ad Banner
Ad Banner

Dalam khutbah tersebut beliau menggariskan lima ciri utama yang perlu ada pada seorang guru berhikmah, iaitu kejayaan menggabungkan ilmu dan akhlak; mendidik dengan ikhlas, beramanah, bersifat penyabar, penyayang, ikhlas dan adil; serta prihatin dan peka dengan keperluan murid.

Selain itu seorang guru perlu sentiasa bersedia meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran, serta tidak hanya menyasarkan kecemerlangan pencapaian akademik, tetapi memastikan anak didik cemerlang sahsiah, stabil emosi dan menjadi warga yang memiliki jati diri.

Mohd Azam berkata Islam mengangkat tinggi martabat serta meletakkan guru bertaraf mulia, sesuai dengan kedudukan ilmu dalam memikul amanah untuk mencerahkan minda, menyampaikan ilmu dan membina insan sejahtera.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut mengingatkan para jemaah untuk menghargai guru yang begitu besar jasanya dalam kehidupan masing-masing, dengan menunjukkan adab berterima kasih kepada guru, menghormati serta menghargai jasa, selain mendoakan kesejahteraan mereka.

“Ummah (Umat Islam) hendaklah bersama-sama bersedia berganding bahu dan memberi sokongan kepada guru, dalam usaha mewujudkan warga yang berilmu, berpengetahuan, memiliki jati diri dan berketerampilan, lantas berupaya menjadi pelapis kepimpinan negara,” katanya.

Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Tahlil, Doa dan Khutbah Jumaat, bersempena dengan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Sultan Nazrin memperkenankan 625 warga pendidik dan guru di Perak untuk menyampaikan khutbah Jumaat hari ini, bersempena dengan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun.

Jabatan Pendidikan turut menganjurkan program pengimarahan masjid di sini, melibatkan 2,000 pelajar dan warga pendidik membabitkan program motivasi kerohanian murid serta bacaan surah Yasin, tahlil dan doa selamat sebelum azan Jumaat dan khutbah dibacakan.

Khutbah khas bersempena dengan Sambutan Hari Guru merupakan antara pengisian program kerohanian, bertujuan memberi peluang dan pengalaman kepada warga guru menyampaikan khutbah, di samping mengiktiraf peranan mereka sebagai penyampai ilmu, pembina ummah dan ejen penyatuan masyarakat.

Program pengimarahan masjid itu juga selaras Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 iaitu mentransformasikan pendidik agar berkeupayaan tinggi dan berorientasikan masa hadapan, selain menjulang semangat profesionalisme guru bagi melahirkan insan sejahtera berteraskan Rukun MADANI.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan