NIBONG TEBAL, 15 Mei (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan peruntukan berjumlah RM315,000 bagi menaik taraf bilik guru serta pemasangan penyaman udara di sekolah sekitar Parlimen Nibong Tebal bersempena dengan sambutan Hari Guru 2026.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM105,000 diperuntukkan bagi kerja naik taraf bilik guru di empat sekolah, iaitu SMK Tunku Abdul Rahman, SK Saujana Indah, SJK(C) Kampung Jawi dan SJK(T) Ladang Transkrian.
Beliau berkata tambahan RM210,000 lagi disalurkan menerusi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal bagi tujuan pemasangan penyaman udara di bilik guru melibatkan kesemua 42 sekolah di kawasan itu.
“Pelbagai inisiatif dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan warga pendidik diberi perhatian termasuk usaha berterusan menangani beban tugas guru.
“Inisiatif naik taraf bilik guru dan pemasangan penyaman udara ini adalah antara langkah yang diambil bagi memastikan keselesaan guru sewaktu berada di sekolah dapat ditingkatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Fadhlina mengadakan lawatan ke empat sekolah berkenaan sebelum mengumumkan peruntukan berkenaan.
Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pelaksanaan inisiatif naik taraf bilik guru di sekolah seluruh negara berjumlah RM100 juta ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 pada Januari lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial