KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Golongan belia kini bukan lagi sekadar pemerhati, sebaliknya menjadi pencetus perubahan dalam pelbagai sektor strategik negara termasuk teknologi, pendidikan dan keusahawanan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia berkata generasi muda hari ini merupakan kekuatan yang sedang menggerakkan negara dalam mendepani perubahan dunia yang semakin pesat.
“Anak muda hari ini adalah kekuatan yang sedang menggerakkan negara. Dalam dunia yang berubah pantas, belia sentiasa tampil dengan idea baharu serta semangat yang besar dalam mencorakkan masa depan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Belia Negara 2026 hari ini.
Beliau berkata generasi muda memiliki peranan yang amat penting dalam membawa negara terus maju, stabil dan berdaya saing.
Ahmad Zahid berkata belia masa kini memainkan peranan penting dalam pelbagai bidang termasuk teknologi, pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ekonomi kreatif serta kesukarelawanan.
Sempena Hari Belia Negara 2026 yang bertemakan “Menggerak Belia”, beliau berharap golongan muda akan terus melangkah dengan keyakinan, memperkukuh perpaduan serta berani mencipta peluang demi masa depan negara dengan nilai, ilmu serta jati diri yang kuat.
“Terus melangkah, terus mencipta dan terus menggerakkan Malaysia ke hadapan. Selamat Hari Belia Negara 2026,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial