PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Permohonan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di negara ini dibuka pada 30 Jun ini.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata bagi tahun ini, permohonan itu akan dibuka di peringkat universiti masing-masing sebelum menggunakan sistem UPUOnline pada 2027.
Beliau berkata senarai penuh universiti yang membuka permohonan bagi kemasukan pelajar ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat antaranya melibatkan Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
“Insya-Allah, kita akan membuka permohonan secara terus (melalui) universiti yang menawarkan program tersebut bermula 30 Jun bagi membolehkan permohonan itu boleh berlaku pada tahun ini,” katanya.
Dalam sidang media khas laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA di sini hari ini, beliau berkata kemasukan calon terbabit mestilah mempunyai kelayakan dari Institusi masing-masing bersekali memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mereka mesti mendapat sekurang-kurangnya kepujian bahasa Melayu serta lulus Sejarah sebagaimana ketetapan yang telah diputuskan sebelum ini.
“Semua permohonan kemasukan ke IPTA akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada penilaian dan keputusan Senat Universiti,” katanya.
Azlinda berkata setiap calon memohon akan melalui proses temuduga yang dibuat di peringkat universiti masing-masing seperti dilalui calon arus perdana bagi program ditetapkan.
“Sebenarnya program-program ini adalah program kompetitif kerana ramai juga calon memohon. Jadi di situlah kita akan lihat dari segi kesesuaiannya dan bagaimana kita boleh memberi ruang dan peluang laluan kepada pelajar-pelajar mengambil bidang (dibuka),” katanya.
Mengenai manfaat subsidi kerajaan, beliau berkata secara amnya mereka turut mendapat manfaat berkenaan.
“Kalau mereka masuk kepada program ini, ia dianggap sebagai saluran perdana maksudnya program mereka ini adalah disubsidi oleh kerajaan juga,” katanya.
Semalam, kerajaan mempersetujui beberapa ketetapan berkaitan laluan kemasukan pelajar daripada aliran sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) ke IPTA.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini berkata mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM kekal menjadi syarat wajib bagi kemasukan ke IPTA termasuk untuk pelajar lepasan luar sistem pendidikan kebangsaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial