Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Selangor Perkasa Pembangunan Sukan Pickleball Daripada Peringkat Sekolah

15/05/2026 06:12 PM

SHAH ALAM, 15 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Program Pembangunan Sukan Pickleball Negeri Selangor atau Picklespark 2026/2027 yang menyasarkan penglibatan murid sekolah sebagai usaha memperkasakan sukan itu. 

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata inisiatif strategik itu akan dilaksanakan di lima zon seluruh negeri dalam tempoh 12 bulan bagi memperkenalkan sukan tersebut sebagai aktiviti pembangunan komuniti yang lebih berstruktur.

“Kita melihat sukan pickleball mempunyai perkembangan sangat agresif melibatkan setiap lapisan masyarakat namun pada peringkat sekolah ia belum mempunyai pendekatan terancang untuk pelajar serta guru.

Ad Banner
Ad Banner

“Justeru, kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri amat penting untuk kita ke sekolah bagi memperkenalkan sukan ini dan memastikan murid mendapat pendedahan awal yang sewajarnya,” katanya.

Mohd Najwan berkata demikian selepas melancarkan program itu yang mendapat kerjasama Fakulti Sains Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) di Pickleball Playground, Jalan Padang Jawa di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 bagi tujuan itu memandangkan Selangor negeri pertama yang membangunkan bakat dalam sukan itu secara sistematik bermula daripada peringkat sekolah.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita menyasarkan penyertaan 100 guru di seluruh negeri untuk diberikan latihan asas kejurulatihan dan elemen teknikal berkaitan pertandingan supaya mereka boleh membentuk pasukan di sekolah masing-masing.

“Pendedahan diberikan merangkumi teknik permainan serta pengenalan alatan sukan agar jangkauan pembangunan ini dapat diperluas melalui kejohanan peringkat daerah dan negeri dalam tempoh setahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata program itu turut menyasarkan penyertaan 500 murid berusia 10 hingga 15 tahun dari zon yang telah dilengkapi kemudahan gelanggang dengan peserta berpotensi akan dikenal pasti untuk digilap menjadi atlet negeri.

Beliau berkata inisiatif itu juga bertujuan mempromosikan pickleball sebagai sukan kompetitif yang inklusif dan mudah diakses sekali gus menyokong ekosistem mampan sejajar dengan aspirasi melahirkan masyarakat sihat dan aktif.

Model pembangunan yang ingin diterapkan kepada sukan pickleball itu menurut beliau serupa dengan kejayaan e-sukan di Selangor yang bermula dari 2015 dan kini sudah mencapai tahap matang dan mampu berdiri sendiri.

Mohd Najwan berkata kerajaan negeri optimis jelajah zon dan penganjuran pertandingan yang dirancang mampu melahirkan bakat baharu yang berkualiti dari institusi pendidikan di Selangor untuk sukan pickleball dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan