Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Anak Autisme Cetus Inspirasi Cikgu Velerie Raih Pengiktirafan Menteri Pendidikan

15/05/2026 08:19 PM

IPOH, 15 Mei (Bernama) -- Dikurniakan anak lelaki yang mengalami Autism Spectrum Disorder (ASD), menjadi titik tolak kepada Dr Velerie Wheelervon Primus, 37, dari Sabah untuk beralih menjadi guru pendidikan khas bagi membantu pendidikan anak tunggalnya serta rakan-rakan senasib.

Keazaman itu turut mendorong Velerie menghasilkan beberapa pendekatan khas pembelajaran iaitu Hope, Miracles dan Neuro Arts untuk mendidik murid berkeperluan khas.

Tiga pendekatan berkenaan terbukti memberi impak besar apabila berjaya membantu seorang murid autisme berkerusi roda menjadi individu yang mampu berlari dan bermain bola sepak pada awal tahun ini.

Ad Banner
Ad Banner

Kejayaan itu sekali gus melayakkan guru Sekolah Kebangsaan Bingkor, Keningau itu menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan pada Majlis Anugerah Hari Guru 2026 sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55 di sini, hari ini.

“Anak saya, Nogah, kini berusia 11 tahun. Saya sudah 13 tahun berada dalam dunia pendidikan bermula sebagai guru sukan sebelum beralih kepada guru seni kebudayaan. Apabila anak saya didiagnosis menghidap autisme pada 2020, saya mula beralih ke bidang pendidikan khas.

“Saya menggabungkan ketiga-tiga bidang itu menerusi beberapa pendekatan termasuk Neuro Arts yang dibangunkan pada awal tahun ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis anugerah itu.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pengiktirafan diterima itu amat bermakna dan disifatkan sebagai penghargaan terhadap segala perjuangan serta pengorbanannya sepanjang berada dalam dunia pendidikan.

Mengulas lanjut mengenai pendekatan pendidikan digunakan, Velerie berkata pendekatan Hope memberi fokus kepada intervensi bersama antara sekolah dan ibu bapa, manakala Miracles menggabungkan terapi cara kerja dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Menurutnya pendekatan Neuro Arts pula menggabungkan elemen neurologi, sains dan terapi cara kerja dalam sesi PdP.

Selain Velerie, 94 lagi guru dari seluruh negara menerima anugerah dalam 31 kategori yang menawarkan hadiah wang tunai dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN), sijil dan cenderamata sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta peranan mereka dalam dunia pendidikan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan