Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Polis Perak Buka Siasatan Tatatertib Susulan Penemuan Dadah, Telefon Dalam Lokap

15/05/2026 09:06 PM

IPOH, 15 Mei (Bernama) -- Polis membuka siasatan tatatertib secara menyeluruh susulan penemuan beberapa paket bahan disyaki dadah dan telefon bimbit dalam lokap Balai Polis Pusat, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada Selasa lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata siasatan itu bertujuan mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian, kelemahan kawalan, pelanggaran prosedur operasi standard atau penglibatan mana-mana pegawai dan anggota dalam kejadian berkenaan.

"Siasatan turut memberi tumpuan terhadap aspek penyeliaan serta tahap pematuhan prosedur pengurusan lokap bagi memastikan tiada kompromi terhadap integriti dan keselamatan tahanan.

Ad Banner
Ad Banner

“Polis Perak memandang serius penemuan barang larangan termasuk bahan disyaki dadah dan telefon bimbit di dalam lokap hasil pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.  

Beliau berkata pemeriksaan itu, yang dijalankan pada kira-kira 10 malam 12 Mei lepas, melibatkan sebuah sel yang menempatkan empat tahanan.

“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa telefon bimbit diikuti beberapa paket bahan disyaki dadah jenis heroin dan metamfetamina.

Ad Banner
Ad Banner

"Pihak polis turut merampas beberapa barang larangan lain termasuk tembakau, wang tunai dan peralatan komunikasi yang dipercayai dibawa masuk ke dalam lokap tanpa kebenaran," katanya.

Noor Hisam berkata susulan penemuan itu, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata kesemua barang kes berkaitan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk tindakan lanjut termasuk analisis dan siasatan terperinci.  

“Semua ketua jabatan, ketua polis daerah dan pegawai penyelia lokap telah diarahkan mempertingkat pemeriksaan serta pemantauan secara berterusan bagi memastikan prosedur keselamatan dipatuhi sepenuhnya,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan