KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Lebih 200 projek naik taraf medan selera dan pusat penjaja di seluruh negara yang dilaksanakan tahun ini disasarkan siap sepenuhnya menjelang Disember, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh kemudahan awam demi keselesaan rakyat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menerusi hantaran di Facebook berkata projek di bawah kementeriannya itu melibatkan kos antara RM300,000 hingga RM500,000 bagi setiap projek
“KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) meluluskan peruntukan RM60 juta bagi menaik taraf lebih 200 medan selera dan pusat penjaja... dalam tempoh tiga tahun lalu, KPKT turut berjaya menyiapkan 15,082 projek prasarana di seluruh negara.
“Selain itu, projek penurapan jalan perumahan di Perak melibatkan kira-kira 800 laluan dengan peruntukan RM40 juta juga telah siap sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, Nga berkata projek naik taraf Medan Selera Greentown Utama kini tampil lebih moden dan selesa selepas lebih dua dekad menunggu.
Langkah menaik taraf medan selera berkenaan bermula pada Ogos 2025 dan siap sepenuhnya pada 31 Jan lepas, merangkumi kerja-kerja mengecat semula kawasan medan selera, pemasangan kipas industri serta penggantian set meja dan kerusi baharu demi keselesaan pengguna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial