JOHOR BAHRU, 16 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM17.97 juta bagi Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) di Johor sejak 2023.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata peruntukan melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) itu memperteguh komitmen dan memastikan penyaluran bantuan penyelenggaraan berterusan untuk penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR).
Beliau berkata sebanyak 57 projek penyelenggaraan dilaksanakan menerusi PPP termasuk penggantian paip kumbahan dan pembaikan susur tangan dengan kos RM876,744 di PPR Taman Desa Mutiara.
“(Secara keseluruhan) sebanyak RM1.91 juta telah dikhususkan untuk PPR Taman Desa Mutiara bagi pelaksanaan enam projek penyelenggaraan utama,” katanya selepas merasmikan Program Sinergi Kasih MADANI Komuniti Lestari dan Selamat di PPR itu di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Khalid Mohamed.
Aiman Athirah berkata Kerajaan MADANI sentiasa prihatin dan proaktif dalam menangani isu kritikal yang dihadapi penduduk merangkumi aspek keselamatan, kebersihan serta keselesaan persekitaran kediaman.
Dalam pada itu, beliau berkata KPKT sentiasa komited dalam memupuk kesejahteraan komuniti termasuk menerusi inisiatif Pusat Komuniti Sifar Sisa (KOSIS) di bawah seliaan SWCorp yang diperkenalkan pada Mac 2020.
Beliau berkata inisiatif itu turut dilaksanakan di PPR Taman Desa Mutiara yang telah mencatatkan pengumpulan 32,790.07 kilogram barangan kitar semula dengan nilai jualan RM15,652.
Sementara itu, Aiman Athirah berkata PPR tersebut turut dipilih sebagai lokasi Fire Point untuk kegunaan bomba komuniti di kawasan berkenaan.
Beliau berkata secara keseluruhan terdapat 16 lokasi Fire Point di seluruh negara yang dilengkapi pelbagai peralatan dan kelengkapan termasuk jaket keselamatan, hos dan bot komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial