Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jadikan Pesta Kaamatan Medan Utama Pelihara Tradisi, Budaya Etnik Sabah

16/05/2026 04:00 PM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 16 Mei (Bernama) -- Segenap lapisan masyarakat di Sabah diseru untuk menjadikan perayaan Pesta Kaamatan sebagai medan utama dalam memelihara tradisi dan budaya warisan nenek moyang agar tidak hilang ditelan zaman.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata kebudayaan mencerminkan identiti sebenar rakyat Sabah yang kaya dengan kepelbagaian etnik, sekali gus perlu dipertahankan dan diwariskan secara aktif kepada generasi muda dan golongan belia.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata pemeliharaan identiti kaum seperti Tatana, Bisaya, Dusun dan Kadazan adalah tanggungjawab bersama selaras dengan prinsip "kalau bukan kita, siapa lagi?,".

"Jika kita tidak mewariskan budaya ini, kita juga akan hilang ditelan zaman. Apabila budaya itu sudah hilang, maka ertinya identiti kita sebagai orang Sabah juga akan lenyap," katanya kepada Bernama.

Pesta Kaamatan, disambut sepanjang bulan Mei setiap tahun dengan acara kemuncak pada 30 dan 31 Mei, merupakan perayaan tradisi masyarakat di Sabah sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian yang diperoleh, selain menjadi simbol perpaduan komuniti.

Ad Banner
Ad Banner

Penduduk Sabah terdiri daripada 33 kumpulan etnik pribumi yang berkomunikasi dalam lebih 50 bahasa serta 80 dialek etnik dan kumpulan etnik besar antaranya Kadazan-Dusun, Bajau, Murut dan Rungus.

Dr Joachim turut melahirkan rasa gembira kerana pada masa kini, pelbagai aspek kebudayaan termasuk sukan tradisi sedang popular setelah dipromosikan semula kepada masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau berkata kekayaan warisan kebudayaan unik yang dimiliki Sabah bukan sahaja sekadar identiti, malah kini diangkat sebagai antara tonggak penting dalam pembangunan negeri di bawah pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah itu turut menekankan kepentingan memelihara aspek perpaduan selaras dengan tema sambutan Pesta Kaamatan tahun ini iaitu "Menuai Perpaduan, Merayakan Keharmonian".

Dr Joachim berkata rakyat diingatkan agar tidak mengambil mudah terhadap keamanan dan perpaduan yang dinikmati ketika ini, sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi menyatupadukan seluruh masyarakat merentasi kepelbagaian subetnik.

“Memandangkan jumlah penduduk asal Sabah adalah relatifnya kecil, iaitu kurang daripada tiga juta orang berbanding keseluruhan populasi Malaysia yang mencecah lebih 33 juta, semangat bersatu padu amat kritikal untuk dibina.

"Sekiranya kita tidak bersatu padu, perkara inilah yang akan menjadikan kita ke belakang dari segi pembangunan sosioekonomi. Sebab itu pada bulan Mei ini, kita 'menuai' perpaduan yang kita ada," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan