KLUANG, 17 Mei (Bernama) -- Program Jualan Kasih Johor (JKJ) terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila menjadi antara inisiatif kerajaan negeri yang paling dinanti rakyat menerusi penawaran barangan keperluan asas lebih rendah hingga 30 peratus daripada harga pasaran.
Tinjauan Bernama di pekarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap yang menjadi lokasi penganjuran program itu mendapati orang ramai mula beratur seawal 7 pagi bagi mendapatkan barangan keperluan, dengan Set Kombo Kasih berharga RM15 antara yang paling laris dibeli.
Set berkenaan mengandungi seekor ayam, sepapan telur ayam dan dua liter minyak masak.
Penduduk Kampung Ithnin Maarof, Pungot Sarban, 66, berkata dia tetap hadir ke lokasi jualan walaupun mempunyai masalah pergerakan kerana penjimatan yang diperoleh amat berbaloi.
“Saya cuba juga datang meskipun bergerak menggunakan kerusi roda kerana harga ditawarkan memang jauh lebih murah daripada pasaran. Banyak boleh berjimat,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Pungot yang ditemani isteri, Jamiah Salim, 66, berkata program berkenaan amat membantu rakyat terutama dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar dan dia lazimnya mengetahui mengenai program terbabit daripada rakan dan ketua kampung.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap turut meninjau pelaksanaan program itu yang telah memberi manfaat kepada lebih 6.59 juta rakyat menerusi penganjuran di kira-kira 1,700 lokasi di seluruh Johor sejak diperkenalkan pada 2023.
Sementara itu, Halimah But, 60, berkata JKJ banyak membantu meringankan perbelanjaan isi rumahnya kerana dapat membeli barangan asas pada harga rendah dan bersesuaian menjelang Aidiladha tidak lama lagi.
Ibu kepada tujuh anak itu berkata program berkenaan memberi peluang kepada rakyat mendapatkan keperluan dapur dengan penjimatan ketara.
“Saya bersyukur dapat beli ayam, minyak masak dan telur pada harga murah. Memang susah nak jumpa harga macam ini di tempat lain. Harap kerajaan negeri dapat teruskan program seperti ini,” katanya yang menetap di Bukit Kenangan di sini.
Bagi suri rumah, Low Soon Chern, 56, pula dia mengetahui mengenai JKJ menerusi hebahan di Facebook sebelum mengambil keputusan hadir buat kali pertama.
Menurut Low, harga ditawarkan terutama Set Kombo Kasih sangat berbaloi dan mampu menjimatkan perbelanjaan harian.
“Sebab itu saya datang tengok sendiri. Lebih kurang RM20 juga boleh jimat,” katanya yang tinggal di Taman Sri Machap.
Low turut berharap hebahan mengenai program itu dapat diperluas supaya lebih ramai rakyat mengetahui lokasi jualan.
Seorang lagi pengunjung, K. Balan, 68, berkata pembelian barangan di JKJ dapat menampung keperluan dapur dia dan isteri untuk tempoh agak panjang.
“Kami tinggal berdua dan lebih suka masak di rumah untuk berjimat. Jadi memang banyak membantu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial