Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Status Daerah Penuh Pulau Banggi Perkasa Perkhidmatan Kerajaan, Ringankan Beban Penduduk

17/05/2026 11:53 AM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KUDAT, 17 Mei (Bernama) -- Demi mendapatkan satu tandatangan atau menguruskan sekeping sijil lahir di pejabat-pejabat kerajaan di Kudat, penduduk Pulau Banggi terpaksa “berperang” dengan ombak, menempuh perjalanan darat yang jauh, malah ada kalanya terkandas akibat banjir.

Realiti pahit itu menjadi asas kukuh mengapa pulau terbesar di Malaysia itu wajar dinaik taraf daripada status daerah kecil kepada daerah penuh, demi mempercepat penyampaian perkhidmatan awam dan meringankan beban kira-kira 30,000 penduduknya.

Ad Banner
Ad Banner

Penolong Pegawai Daerah Kecil Pulau Banggi Jaslee Jaafar berkata langkah berkenaan amat kritikal memandangkan kedudukan geografi pulau itu yang terasing sepenuhnya dari tanah besar, namun mempunyai 52 kampung berdaftar yang memerlukan perhatian pentadbiran yang cekap.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata ketika ini, banyak urusan penting termasuk pendaftaran dokumen pengenalan diri, lesen perahu, bantuan kebajikan, pendidikan hingga pengurusan bencana masih perlu diselesaikan di pejabat-pejabat kerajaan di Kudat.

Terletak kira-kira 70 kilometer (km) dari tanah besar Kudat atau 275 km dari Kota Kinabalu, Pulau Banggi yang berkeluasan 621 km persegi itu hanya boleh diakses menggunakan feri atau bot laju yang amat bergantung kepada keadaan cuaca.

Ad Banner
Ad Banner

-- LAGI

 

BANGGI-DAERAH PENUH 2 KUDAT

 

Jaslee berkata sekiranya Pulau Banggi dinaik taraf, agensi utama seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Air, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perikanan serta pejabat kebajikan dapat beroperasi secara tetap di pulau tersebut tanpa perlu lagi sebarang urusan dirujuk ke Kudat.

“Kita lihat sendiri, orang kampung dari Dogoton misalnya terpaksa menyewa kenderaan ke pekan Karakit dengan kos RM30 sehala atau RM60 pergi balik hanya untuk mendapatkan satu tandatangan.

“Jika urusan itu melibatkan dokumen seperti sijil lahir atau kad pengenalan anak, kosnya lebih tinggi kerana ibu bapa dan anak perlu keluar bersama. Dari Dogoton ke Karakit sahaja sudah RM120, belum termasuk tambang feri ke Kudat kira-kira RM31 seorang," katanya. 

Lebih menyukarkan, sekiranya urusan tidak dapat diselesaikan mereka terpaksa bermalam yang memerlukan kos penginapan, makan dan perbelanjaan lain.

Beliau berkata status daerah penuh juga penting bagi mempercepat tindakan kecemasan semasa berlaku bencana seperti kemarau atau gangguan bekalan air kerana keputusan serta peruntukan tidak lagi perlu menunggu kelulusan daripada tanah besar.

Jaslee berkata pembangunan fizikal yang sedang dilaksanakan di Pulau Banggi perlu bergerak seiring dengan pengukuhan pentadbiran supaya kemudahan yang disediakan benar-benar dapat dimanfaatkan rakyat secara menyeluruh.

Sementara itu, penduduk Kampung Maliyu, Neulin Jamaldin, 43, berkata ketiadaan pusat pengurusan dokumen di pulau itu menyebabkan urusan pendaftaran kelahiran bayi sering tertangguh terutama apabila laluan darat terputus akibat banjir.

Tukang kimpal itu berkata dia pernah berdepan kesukaran apabila urusan ke JPN tertangguh beberapa kali akibat masalah perhubungan jalan dan kekangan kewangan.

“Kadang-kadang ada sampai lima kali tertangguh. Setiap kali kita pergi JPN, urusan tergendala. Kadang-kadang pihak JPN pun tanya kenapa jadi macam ini, jadi kita beritahulah jambatan putus kalau musim banjir,” katanya.

Neulin berkata setiap kali keluar berurusan, kos perjalanan pergi balik boleh mencecah lebih RM50 dan jumlah itu menjadi beban kepada penduduk kampung yang kebanyakannya bergantung kepada pendapatan harian tidak menentu.

“Di sini rata-rata bukan orang senang. Ada yang berkebun, pendapatan kebun pun bukan macam di bandar. Kadang-kadang satu hari dapat RM5, paling banyak RM10,” katanya.

Bagi Neulin dan ribuan penduduk lain, penaiktarafan Pulau Banggi kepada daerah penuh bukan sekadar perubahan status pada nama, tetapi satu talian hayat yang akan memerdekakan mereka daripada belenggu kos dan jarak yang selama ini menghimpit kehidupan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan