Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tanah Gambut: "Giant Sponge" Yang Semakin Terancam Di Kelantan

17/05/2026 11:28 AM

KOTA BHARU, 17 Mei (Bernama) -- Kawasan tanah gambut di Kelantan yang berfungsi sebagai tadahan air semula jadi kini berdepan ancaman akibat pembakaran terbuka dan aktiviti pembukaan tanah untuk pertanian, sekali gus dibimbangi meningkatkan risiko kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di negeri itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Farhan Sufyan Borhan berkata tanah gambut memainkan peranan penting sebagai kawasan simpanan air semula jadi kerana mampu menyerap air dalam kuantiti besar ketika hujan lebat.

Beliau menyifatkan tanah gambut sebagai giant sponge yang membantu mengawal paras air serta mengurangkan risiko limpahan air ke sistem perparitan dan sungai.

Ad Banner
Ad Banner

“Kalau tanah gambut ini dibuka untuk tujuan pertanian atau berlaku pembakaran terbuka, kemampuan tanah untuk menyerap air akan berkurangan dan air terus mengalir ke sistem saliran serta sungai.

“Sebab itu kalau kita lihat di Bachok, kebanyakan kejadian banjir yang berlaku adalah banjir kilat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata Kelantan hanya mempunyai kira-kira 7,692 hektar tanah gambut, jauh lebih kecil berbanding Terengganu yang memiliki lebih 60,000 hektar kawasan tanah gambut.

Ad Banner
Ad Banner

Katanya, kebanyakan kawasan tanah gambut di Kelantan tertumpu di Bachok, Pasir Puteh dan Pasir Mas yang turut dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi berlaku kebakaran terbuka ketika musim kering.

Beliau berkata kebakaran melibatkan tanah gambut juga lebih sukar dipadam kerana api merebak di bawah permukaan tanah selain memerlukan tempoh operasi yang panjang.

“Kita pernah mengambil masa hingga 10 hari untuk kerja pemadaman kebakaran tanah gambut,” katanya.

Farhan Sufyan berkata pembakaran terbuka di kawasan tanah gambut kebanyakannya dipercayai dilakukan bagi tujuan pembersihan kawasan dan pembukaan tanah pertanian.

Beliau berkata tindakan itu bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah boleh menyebabkan kerugian kepada petani apabila kebakaran merebak ke kawasan tanaman seperti kelapa sawit dan nanas.

“Kelapa sawit mengambil masa bertahun-tahun untuk mengeluarkan hasil, manakala nanas pula memerlukan tempoh panjang sebelum boleh dituai. Bila terbakar, semua itu rugi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata asap daripada kebakaran tanah gambut juga lebih ekstrem dan berpotensi menjejaskan kualiti udara, namun pemantauan sukar dilakukan kerana Kelantan hanya mempunyai dua stesen Indeks Pencemaran Udara (IPU) iaitu di Kota Bharu dan Tanah Merah.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap lebih banyak stesen IPU dapat ditempatkan di kawasan hotspot kebakaran bagi membantu pemantauan pencemaran udara dengan lebih berkesan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan melakukan pembakaran terbuka ketika musim kering kerana tindakan itu boleh memberi kesan besar kepada alam sekitar dan keselamatan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan