Oleh Siti Azila Alias
GEORGE TOWN, 17 Mei (Bernama) -- Meskipun terpaksa berdepan bahang bara api hampir empat jam setiap hari, semangat R. Neelamegan, 65, tidak pernah luntur untuk meneruskan legasi perniagaan apam manis keluarganya yang telah bertahan lebih satu abad.
Beroperasi di sebuah bangunan kedai kopi di Jalan Burma di sini, gerai Ravi’s Claypot Appom Manis miliknya sentiasa dipenuhi pelanggan tempatan dan pelancong asing sebaik sahaja dibuka seawal 6 pagi, malah ada yang sanggup beratur demi menikmati keenakan apam manis yang sukar ditemukan di tempat lain.
Menggunakan arang sebagai bahan bakar dan periuk tanah liat sebagai medium memasak, kaedah tradisional itu menghasilkan aroma unik yang menjadi identiti utama apam berkenaan sehingga menjadi menu sarapan wajib setiap hari dari generasi ke generasi.
Neelamegan atau lebih dikenali sebagai Ravi dalam kalangan pelanggan berkata perniagaan apam manis dimulakan oleh bapanya N. Rajagopal yang berasal dari Tamil Nadu, India pada 1922, seiring dengan pembukaan kedai kopi berkenaan yang ketika itu hanya mengenakan kadar sewa setengah sen.
“Saya merupakan generasi kedua yang mula mengambil alih perniagaan ini daripada abang sejak 35 tahun lepas dan kami tidak pernah berpindah lokasi sejak mendiang bapa mula berniaga lebih 100 tahun lepas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata walaupun teknologi moden kini membolehkan apam dimasak menggunakan dapur gas dan kuali biasa, dia tetap setia menggunakan arang dan periuk tanah liat demi mengekalkan aroma serta rasa asli apam tradisional tersebut.
Fasih bertutur dialek Hokkien, Ravi berkata resipi yang digunakan hari ini telah diolah sedikit daripada asal, namun masih mengekalkan bahan asas seperti tepung beras, gula, santan dan telur.
“Bancuhan adunan tepung beras disediakan secara manual pada malam sebelumnya bagi memastikan ia kembang dengan sempurna. Awal pagi di gerai, baru saya akan campurkan telur, gula dan santan segar yang dibeli di pasar berhampiran.
“Setiap hari kami gunakan kira-kira tiga hingga empat kilogram tepung dan boleh menjual antara 500 hingga 700 keping apam, kalau hari minggu lebih sedikit,” katanya.
Mengakui cabaran terbesar ialah mengawal bara api arang yang memerlukan kemahiran tinggi serta ketahanan fizikal, selain perlu berdiri lama dalam keadaan panas ketika menyediakan apam, Ravi berkata apam manis itu juga bukan sekadar hidangan tradisional tetapi simbol penyatuan masyarakat pelbagai kaum di Pulau Pinang apabila dinikmati pelanggan daripada pelbagai latar belakang,
Ravi berkata apam manisnya turut menjadi hidangan kegemaran golongan kenamaan serta pernah menjadi santapan keluarga diraja dan antara kenangan manis sepanjang mengusahakan perniagaan itu apabila beberapa kali menerima jemputan daripada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah untuk ke Istana Pahang bagi menyediakan apam manis atas permintaan khas di istana berkenaan.
Kini, Ravi perlahan-lahan menyerahkan perniagaan itu kepada anak keempatnya, N. Balasivan, 30, dengan harapan pemuda itu dapat meneruskan warisan legasi pembuatan apam keluarga mereka.
Sementara itu, Balasivan yang juga generasi ketiga berkata sejak kecil dia telah mengikuti bapanya ke gerai apam tersebut khususnya pada hujung minggu sebelum mula mengambil alih perniagaan itu daripada bapanya sekitar 2018.
Menurutnya keunikan kaedah tradisional itu turut mendapat pengiktirafan apabila apam manis tersebut menerima Michelin Bib Gourmand pada tahun lepas.
“Selepas menerima pengiktirafan itu saya rasa lebih bertanggungjawab untuk meneruskannya dan perlu memelihara tradisi serta mengekalkan keaslian apam ini kerana sekarang sudah tidak ramai menggunakan periuk tanah liat, malah untuk mendapatkannya kami perlu membawanya dari India,” katanya.
Seorang pelanggan, Sophie Goh, 53, dari Tanjung Bungah berkata dia membesar dengan menikmati apam manis Ravi dan telah menjadi pelanggan tetap gerai berkenaan sejak lebih 20 tahun lepas.
Menurutnya apam manis itu mempunyai rasa yang cukup seimbang dengan penggunaan telur dan santan yang menjadikannya lebih berkrim, lembut dan gebu berbanding apam yang pernah dicubanya di tempat lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial