IPOH, 18 Mei (Bernama) -- Sebanyak 401 Perajurit Muda Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Siri 70/25 menamatkan latihan asas ketenteraan di Akademi Tentera Udara (ATU) di sini hari ini.
Perajurit terdiri daripada 305 lelaki dan 96 wanita itu diraikan dalam satu upacara yang disempurnakan perasmiannya oleh Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris di Padang Kawad A, ATU.
Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Nur Hafis Abdul Karim, Panglima Pendidikan dan Latihan Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha serta Panglima Bantuan Udara Mejar Jeneral Datuk Ahmad Khusairi Ahmad Fadli.
Pada upacara itu, Muhammad Iqmal Ahmad Tarmizi, 25, dipilih sebagai penerima dua anugerah utama iaitu Anugerah Perajurit Muda Udara Ketenteraan Terbaik dan Anugerah Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan.
Terdahulu, Muhamad Norazlan dalam ucapan beliau menekankan setiap warga TUDM perlu sentiasa bersedia meningkatkan keupayaan diri, terutama dari segi pengetahuan, kemahiran dan penguasaan teknologi bagi menghadapi persekitaran keselamatan yang semakin kompleks.
Beliau berkata keperluan itu selaras dengan usaha pemodenan TUDM di bawah Pelan Strategik CAP55 yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, berdaya tahan serta berfikiran jauh.
“Sebagai anggota TUDM, kita perlu menunjukkan tahap disiplin terbaik, berintegriti dan pengorbanan yang tinggi. Setiap tugas yang diamanahkan hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan profesional.
“Sebarang kecuaian walaupun kecil berpotensi memberi kesan besar bukan sahaja kepada organisasi malah kepada keselamatan negara secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Norazlan berkata kumpulan pelatih Siri 70/25 telah menjalani latihan asas ketenteraan selama enam bulan bermula 1 Dis lepas.
Beliau berkata mereka melalui tiga fasa latihan iaitu asas ketenteraan, kelas akademik dan teori selain ujian pratikal dengan penekanan terhadap pembentukan sahsiah sebagai ahli udara yang berkualiti serta berdisiplin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial