Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Laluan UEC Ke IPTA Perlu Diteliti Secara Seimbang - Ahli Akademik

18/05/2026 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Keputusan kerajaan membuka laluan kemasukan kepada lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) secara bersyarat perlu diteliti secara cermat, matang dan seimbang, menurut ahli akademik.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Dekan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Noraffandy Yahaya serta dua pensyarah FEST Prof Madya Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin dan Prof Madya Dr Abdul Halim Abdullah berkata isu itu perlu dilihat dalam kerangka dasar pendidikan kebangsaan, keadilan akses, kualiti akademik, perpaduan nasional dan keperluan negara terhadap bakat dalam pelbagai bidang.

Menurut mereka, perkara utama yang perlu diperjelaskan ialah perbezaan antara laluan kemasukan terhad dengan pengiktirafan penuh yang mana laluan kemasukan terhad bermaksud negara memberi ruang secara bersyarat kepada kelompok pelajar tertentu untuk mengikuti bidang pengajian yang bersesuaian dengan latar akademik mereka.

Ad Banner
Ad Banner

“Pengiktirafan penuh pula bermaksud kelayakan itu diterima secara umum bagi semua program seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi.

“Berdasarkan kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), laluan itu bukan pengiktirafan menyeluruh terhadap UEC untuk semua program di universiti awam. Ia adalah laluan khusus bagi calon luar sistem pendidikan kebangsaan, termasuk lepasan tahfiz dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC untuk dipertimbangkan memasuki program tertentu yang dikenal pasti,” menurut kenyataan itu.

Bagi lepasan SMPC/UEC, antara program yang dinyatakan ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina, Bahasa dan Linguistik Cina, Pengajian Cina serta Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Ad Banner
Ad Banner

Mereka berkata calon juga perlu mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia serta diperakui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran negara, manakala Sejarah pula membentuk pemahaman mengenai pembinaan negara bangsa, Perlembagaan Persekutuan, institusi nasional, kepelbagaian masyarakat dan perjalanan kemerdekaan negara.

“Apabila calon luar sistem pendidikan kebangsaan dikehendaki memenuhi syarat ini, ia menunjukkan keterbukaan akses tidak dipisahkan daripada kesetiaan kepada kerangka kebangsaan.

“Dalam konteks universiti awam, keupayaan akademik semata-mata tidak memadai tanpa literasi kenegaraan minimum dan penghormatan terhadap asas pembentukan Malaysia,” katanya.

Menurut mereka, keputusan kerajaan itu boleh dilihat sebagai pendekatan pragmatik dalam mengurus realiti pendidikan negara yang mempunyai pelbagai aliran pendidikan.

Katanya dari sudut universiti awam, kemasukan pelajar perlu sentiasa berasaskan merit, kesesuaian program, keupayaan mengikuti pengajian serta pematuhan kepada syarat akademik yang ditetapkan.

“Jika seseorang lepasan UEC mengambil keseluruhan subjek SPM dan memenuhi syarat umum serta syarat khas program menerusi sistem kemasukan yang sah, maka kedudukannya wajar dinilai seperti calon lain.

“Dalam hal ini, isu utama bukan mengenai latar sekolah, sebaliknya pematuhan kepada piawaian kelayakan kebangsaan,” katanya.

Mereka turut menegaskan UEC tidak seharusnya dibicarakan sebagai isu satu kaum semata-mata, sebagaimana tahfiz, kerana kedua-duanya mencerminkan kewujudan laluan pendidikan alternatif dalam masyarakat.

Menurut mereka, cabaran kerajaan ketika ini adalah memastikan laluan alternatif berkenaan tidak menjadi sistem yang terpisah sepenuhnya daripada aspirasi nasional.

Katanya pendekatan itu juga perlu dilihat dalam konteks keperluan negara terhadap bakat bahasa, budaya dan diplomasi.

“Malaysia memerlukan graduan yang bukan sahaja menguasai bidang profesional tetapi juga mempunyai keupayaan rentas bahasa, rentas budaya dan rentas tamadun,” katanya.

Mereka berpendapat beberapa prinsip perlu dikekalkan, termasuk setiap perluasan laluan perlu diumumkan secara telus, syarat akademik tidak boleh dilonggarkan sehingga menimbulkan persepsi ketidakadilan dan universiti awam perlu menilai calon berdasarkan kapasiti program, kurikulum serta standard kualiti.

Selain itu, kerajaan juga perlu menjelaskan perbezaan antara istilah ‘dipertimbangkan’, ‘diterima’, ‘diiktiraf’ dan ‘disetarakan’ bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Kesimpulannya, keputusan membuka laluan terhad kepada lepasan UEC dengan syarat Bahasa Melayu dan Sejarah serta hanya bagi program tertentu boleh dilihat sebagai usaha mencari titik keseimbangan antara keterangkuman dan keutuhan dasar pendidikan kebangsaan.

“Ia bukan keputusan yang harus diraikan secara berlebihan dan bukan juga keputusan yang wajar ditolak secara emosional,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan