Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program 'Jom Bijak Wang' Bank Muamalat Cipta Rekod Nasional, Diiktiraf MBR

18/05/2026 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa literasi kewangan komuniti selepas berjaya mencipta rekod nasional menerusi program ‘Jom Bijak Wang’ yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR).

Program itu menerima pengiktirafan sebagai Program Literasi Kewangan Altitud Tertinggi dalam Bangunan Pencakar Langit selepas penganjurannya di Aras 83, Menara Berkembar Petronas pada ketinggian 358 meter.

Ketua Pegawai Operasi Bank Muamalat Zury Rahimee Zainal Abiden berkata program tersebut bertujuan memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan kewangan khususnya dalam aspek pengurusan perbelanjaan dan simpanan.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita mulakan program ini dari peringkat awal, di peringkat persekolahan dan (kemudian) kita akan beralih ke segmen berbeza, pelajar universiti dan seterusnya dalam sektor pekerjaan juga.

“Kami juga mempunyai banyak program melibatkan kelompok lain, contohnya dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bagi memperkasakan ilmu kewangan memandangkan golongan ini antara yang kurang mendapat pendedahan,” katanya kepada pemberita pada program ‘Jom Bijak Wang’ di aras 83, Menara Berkembar Petronas, di sini, hari ini.

Program ‘Jom Bijak Wang’ yang disertai 30 pelajar daripada komuniti anak yatim, asnaf dan B40 itu disasarkan untuk meningkatkan kefahaman serta kemahiran pengurusan kewangan mereka melalui pendekatan interaktif dan praktikal.

Ad Banner
Ad Banner

Antara fokus utama program tersebut ialah pengurusan wang yang berhemat, perancangan kewangan mampan serta pemahaman terhadap peranan perbankan digital dalam kehidupan seharian.

Pengisian program turut merangkumi sesi 'Jom Bijak Wang bersama Ringgit Rayyan’ yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Kewangan Sosial Bank Muamalat, Zaharuddin Alias serta sesi ‘Jom Kenal Perbankan Digital’ oleh Pengurus Perbankan Digital Bank Muamalat, Azmeer Nizam.

Mengulas lanjut, Zury Rahimee berkata program dengan kerjasama strategik Petrosains itu menggunakan kaedah pembelajaran menyeronokkan bagi menarik minat kanak-kanak mendalami ilmu kewangan.

“Penting sekarang dengan pelbagai cabaran, ilmu kewangan ini mengajar kita kembali kepada elemen asas. Kita hanya perlu belanja ikut keperluan, kita tak perlu ikut kehendak, jadi amat penting untuk memastikan orang ramai berbelanja dengan berhemat,” katanya. 

Pada majlis tersebut juga Bank Muamalat turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada dua rumah kebajikan sebagai sokongan berterusan terhadap kesejahteraan golongan yang memerlukan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat bank itu. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan