KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan lebih banyak rekod kebangsaan mampu diperbaharui pada Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 susulan peningkatan penyertaan atlet institusi pengajian tinggi (IPT) bertaraf tinggi dalam temasya itu.
Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT Dr Hanafiah Ayub berkata SUKIPT bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah platform penting buat atlet IPT mempamerkan potensi terbaik mereka sebagai persediaan menghadapi kejohanan lebih besar seperti Sukan Asia.
“Kita sasar lebih banyak rekod kebangsaan dipecahkan. Kalau kita tengok contohnya olahraga, atlet-atlet ini akan ke Sukan Asia dan sebagainya, jadi SUKIPT ini menjadi platform untuk mereka tunjukkan potensi diri yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran SUKIPT 2026 di Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.
Mengulas mengenai kesiapsiagaan venue pertandingan, BELIAU berkata hampir 80 peratus fasiliti yang digunakan bagi SUKIPT 2026 melibatkan kemudahan di kampus UM, sejajar konsep kementerian yang mengutamakan penggunaan fasiliti IPT.
Katanya UM turut menaik taraf beberapa fasiliti bagi memenuhi keperluan temasya itu selain mendapat sokongan menyeluruh daripada pihak pengurusan universiti.
“Kalau ada acara yang tidak mempunyai fasiliti di UM seperti hoki, boling dan golf, kita akan gunakan venue berhampiran seperti hoki di Lembah Pantai dan golf di UKM,” katanya.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata SUKIPT 2026 bakal menjadi platform penting dalam persediaan menghadapi Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang dijadual berlangsung Disember ini di Shah Alam, Kuala Lumpur, Serdang dan Bangi.
Beliau berkata SUKIPT edisi ketujuh dijangka menjadi medan terbaik melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi menerusi penyertaan atlet IPT bertaraf antarabangsa dalam temasya itu yang akan berlangsung di UM, dari 28 Ogos hingga 6 Sept depan.
Katanya SUKIPT 2026 akan mempertandingkan 30 acara dengan tawaran 251 pingat emas melibatkan penyertaan 65 kontinjen, lebih 6,000 atlet, 2,500 pegawai serta lebih 600 sukarelawan di 23 gelanggang pertandingan.
“Menjadi harapan saya agar kejohanan ini dapat menghadirkan satu persaingan yang kompetitif dan memberikan ruang untuk lebih ramai mahasiswa IPT kita bergiat aktif di arena sukan.
“SUKIPT 2026 akan terus menjadi medan untuk atlet IPT sentiasa mengekalkan prestasi terbaik mereka sebelum bersaing di kejohanan-kejohanan di peringkat antarabangsa termasuklah AUG, Sukan Universiti Asia, Sukan Universiti Dunia (WUG), Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran SUKIPT 2026 di Dewan Tunku Canselor UM, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata KPT mengekalkan beberapa insentif kecemerlangan SUKIPT termasuk ganjaran RM3,000 kepada Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT, RM7,000 kepada pasukan terbaik lelaki dan wanita serta RM20,000 kepada atlet yang memecahkan rekod kebangsaan.
-– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial