TAIPING, 19 Mei (Bernama) -- Hanya 44 projek atau 5.2 peratus daripada keseluruhan 851 projek kerajaan yang sedang dalam pembinaan ketika ini dikategorikan sebagai projek sakit, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, majoriti kelewatan berpunca daripada kelemahan kontraktor khususnya dari aspek penjadualan, perancangan serta masalah aliran kewangan.
“Daripada 851 projek yang sedang berjalan itu, 241 projek atau 28 peratus berada pada tahap awal jadual manakala 213 projek atau 25 peratus mengikut jadual. Hanya 44 projek atau 5.2 peratus dikategorikan sebagai projek sakit .
“Jadi harapan saya 5.2 peratus projek sakit itu dapat dipulihkan. Kalau tidak dapat dipulihkan ada satu dua projek yang kita tamatkan dan kita cari kontraktor penyelamat…yang mana kita boleh selamatkan dengan memberi lanjutan masa kita berilah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan dan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat di Bangunan Stor Farmasi Logistik dan Farmasi Steril Hospital Taiping hari ini.
Ahmad berkata antara kementerian yang merekodkan projek sakit tertinggi ialah Kementerian Pendidikan dengan 14 projek, diikuti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (lapan), Kementerian Dalam Negeri (lima) dan Kementerian Pertahanan (empat).
Sementara itu, beliau berkata nilai keseluruhan 851 projek yang sedang dalam pembinaan adalah sebanyak RM49.5 bilion, manakala 351 projek bernilai RM15.48 bilion telah siap dan kini berada dalam tempoh liabiliti kecacatan (DLP).
“Projek dalam pembinaan ini saya berharap agar JKR (Jabatan Kerja Raya) terutama pegawai penguasa memantau dengan rapi semuanya.
“Sebagai contoh, terdapat satu projek dikategorikan sebagai projek sakit hanya disebabkan isu pengalihan enam tiang elektrik milik Sabah Electricity. Selepas kerja pengalihan itu diselesaikan, projek berkenaan tidak lagi berada dalam kategori projek sakit dan keadaannya tidaklah serius seperti dijangkakan,” katanya.
Beliau berkata projek yang benar-benar serius sakit adalah kira-kira lapan projek yang dijangka memerlukan penamatan kontrak sebelum digantikan dengan kontraktor baharu bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial