KOTA KINABALU, 19 Mei (Bernama) -- Bangkai seekor gajah Borneo telah ditemukan di kawasan hutan tapak semaian dalam kawasan Sungai Pinangah pada semalam, dan pihak berkuasa mengesyaki haiwan itu mati akibat dibunuh dengan kejam.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin melalui satu kenyataan hari ini berkata pemeriksaan awal mendapati bahagian muka dan mulut gajah itu telah dipotong dalam bentuk huruf L menggunakan peralatan tajam, selain gadingnya hilang.
“Setakat ini, tiada kesan tembakan pada bangkai gajah itu, namun siasatan forensik masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian.
“Haiwan itu dipercayai seekor gajah Borneo jantan dengan ketinggian kira-kira 2.9 meter, serta saiz tapak kaki kira-kira 1.45 meter,” katanya.
Beliau berkata laporan pemeriksaan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) dibuat berdasarkan pemeriksaan di lokasi kejadian di kawasan tapak semaian di Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod yang dijalankan pada 18 Mei dari 12.13 tengah hari hingga 3.30 petang.
Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan pegawai SWD, Renjer Komuniti dan Polis Diraja Malaysia.
Pasukan Hidupan Liar Kinabatangan menerima aduan kira-kira 8.25 pagi pada 18 Mei berhubung penemuan bangkai gajah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan jenayah hidupan liar.
Beliau berkata maklumat awal menunjukkan bahawa pada 17 Mei kira-kira 5.30 petang, pekerja estet di daerah Tongod dilaporkan terdengar bunyi kuat seperti letupan berhampiran kawasan bangkai itu ditemukan.
Hujan lebat pada masa kejadian turut menyukarkan penyiasat untuk mengesan jejak dan bukti di lokasi.
“Saya telah meminta Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk segera meneruskan siasatan terperinci, memperkukuh penguatkuasaan dan operasi rondaan. Saya juga mahu kerjasama berterusan dengan Polis Diraja Malaysia serta meningkatkan pemantauan di koridor pergerakan hidupan liar dan kawasan berisiko tinggi.
“Kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan serta pihak berkepentingan.
"Kita tidak boleh membenarkan Sabah menjadi medan jenayah hidupan liar. Setiap kehilangan spesies dilindungi adalah kehilangan kepada warisan semula jadi dan masa depan biodiversiti Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu tampil membantu pihak berkuasa bagi memastikan siasatan menyeluruh dan tindakan sewajarnya dapat diambil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial