SHAH ALAM, 19 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor akan menganjurkan Program Jualan Rahmah MADANI - Jualan Mega Aidiladha 2026 pada 23 dan 24 Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata program dua hari bersempena sambutan Aidiladha itu bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian serta persiapan hari raya pada harga lebih rendah dan berpatutan.
“Inisiatif ini merupakan usaha berterusan PKPS dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat melalui penawaran barangan asas pada harga berpatutan.
“Pelbagai barangan keperluan harian serta persiapan Aidiladha ditawarkan pada harga promosi yang lebih menjimatkan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Khairil berkata jualan tersebut akan berlangsung di lapan lokasi terpilih sekitar Selangor bermula 9 pagi hingga 2 petang, melibatkan barangan asas seperti ayam, ikan, daging, beras, telur, minyak masak, tepung, bihun, sardin, biskut, sabun pencuci pakaian dan lampin bayi pakai buang yang boleh dibeli pada harga promosi.
Pada 23 Mei, lokasi terlibat ialah Dataran Bougainvilla, Kampung Sungai Kertas; Pekarangan Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam; Dataran Pantai Batu Laut dan Pejabat Parlimen Sabak Bernam, Bagan Nakhoda Omar.
Manakala pada 24 Mei, lokasi terpilih adalah di Balai Penghulu Telok Panglima Garang; Pekarangan Flat Taman Kem, Pelabuhan Klang; Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang dan Tapak Parkir Econsave Sungai Buloh.
Menerusi program itu, orang ramai boleh membeli ayam segar pada harga RM10 sekor, ikan 900 gram (RM6.50), tepung (RM2), bihun (RM2.50), telur Gred B sepapan (RM7), sabun pencuci pakaian (RM14), daging 900 gram (RM10), beras 5 kilogram (kg) (RM12), sardin (RM5.50), biskut (RM3), minyak masak dua kg (RM10), dan lampin bayi pakai buang (RM7).
Mohamad Khairil turut mengingatkan pengunjung agar membawa kad pengenalan untuk tujuan pendaftaran dan pengesahan, selain barangan promosi adalah tertakluk kepada stok semasa di setiap lokasi dan cawangan terlibat.
Beliau berkata selain jualan di lokasi terpilih, PKPS turut melaksanakan inisiatif melalui Promo Raya Haji Ehsan Mart sebagai pilihan tambahan kepada orang ramai untuk membuat persiapan Aidiladha dengan lebih mudah dan berbaloi.
“Promosi tersebut berlangsung dari 15 hingga 31 Mei di tiga cawangan Ehsan Mart iaitu di Sungai Tua, Selayang; Pandan Utama dan Taman Melawati.
“Antara produk terlibat adalah kerang sejuk beku, cili giling, kerisik, rempah dan ayam goreng. PKPS berharap inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada rakyat dalam membuat persiapan Aidiladha dengan lebih mudah dan menjimatkan kos perbelanjaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial