KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Singapura terus memperkukuh kerjasama strategik sektor kesihatan meliputi penyelarasan dasar pelabelan makanan, akses teknologi perubatan dan pelancongan kesihatan rentas sempadan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala beliau bersama dengan rakan sejawatnya dari Singapura Ong Ye Kung di Geneva, Switzerland hari ini.
“Hubungan erat Malaysia dan Singapura dalam sektor kesihatan terus dipacu menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang mencerminkan tingkat kepercayaan serta komitmen tinggi demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.
“Pertemuan ini menzahirkan iltizam bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik yang membawa manfaat langsung kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata pada pertemuan itu, kedua-dua negara turut memperhalus penyelarasan dasar pelabelan makanan (Nutri-Grade) sebagai langkah proaktif dan bersepadu bagi memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD) di rantau ini.
Dzulkefly berkata Malaysia juga menyambut baik pelaksanaan Program Persandaran Kawal Selia Peranti Perubatan yang bakal mempercepat akses teknologi perubatan berkualiti tinggi dan inovatif ke dalam pasaran serantau.
Beliau berkata kedua-dua pihak turut meneroka potensi perluasan pelancongan kesihatan merentas sempadan termasuk inisiatif memudah cara rujukan pesakit dari Singapura ke kemudahan swasta di Johor serta peluasan perlindungan insurans Medisave.
“Hal ini pastinya mampu memangkin limpahan ekonomi dan memperluas kesalinghubungan kesihatan demi manfaat rakyat di wilayah selatan tanah air.
“Dalam dunia yang mendepani pelbagai cabaran kesihatan awam yang kompleks, kesepakatan ini bukan sekadar meneruskan legasi persahabatan, tetapi menjadi wahana penting dalam membina sistem kesihatan serantau yang lebih mampan, berdaya tahan dan manusiawi,” katanya.
Beliau berkata Malaysia kekal komited mendukung diplomasi dan kerjasama yang berpaksi pada sikap saling menghormati serta kemakmuran bersama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial