Oleh N. Kuvineshwaren
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) meraikan ulang tahun ke-59 hari ini, menandakan hampir enam dekad transformasi daripada sebuah agensi berita tradisional kepada organisasi multimedia unggul yang menerajui kewartawanan digital dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967, agensi berkenaan terus berkembang pesat dan kini menyampaikan berita sahih melalui ekosistem komprehensif yang merangkumi platform digital, Bernama Radio, Bernama TV serta rangkaian media sosial.
Editor Projek Khas Bernama M. Govind Nair berkata pengembangan berkenaan mencerminkan keupayaan agensi terbabit untuk menyesuaikan dengan perubahan landskap media, di samping terus kekal sebagai tonggak penting dalam ekosistem penyampaian maklumat Malaysia.
“Bernama telah berkembang daripada sebuah agensi berita konvensional kepada organisasi multimedia meliputi kewartawanan digital, penyiaran serta operasi bilik berita yang dibantu penggunaan teknologi AI.
“Ia (Bernama) kekal sebagai sumber berita yang dipercayai serta seimbang untuk orang awam, agensi kerajaan serta komuniti antarabangsa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Govind Nair yang telah berkhidmat dengan Bernama selama lebih 45 tahun berkata walaupun aliran maklumat semakin pantas pada era media sosial, agensi berkenaan tidak pernah berkompromi terhadap prinsip terasnya iaitu pengesahan fakta, keadilan dan keseimbangan dalam pelaporan berita.
Beliau berkata meskipun nilai kewartawanan kini diuji oleh tekanan komersial serta persaingan untuk menyampaikan berita dengan pantas, kredibiliti Bernama kekal menjadi kekuatan utamanya yang berasaskan reputasi profesionalisme dan bukannya kepantasan semata-mata.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati golongan wartawan muda Bernama agar sentiasa memiliki sikap ingin tahu dan bersedia menyesuaikan diri dengan teknologi baharu seperti AI.
“Walaupun mengguna pakai alat dan menguasai kemahiran baharu, jangan sesekali mengabaikan asas kewartawanan iaitu integriti, profesionalisme, empati serta perkhidmatan kepada orang ramai,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Mokhtar Hussain berkata peningkatan kemahiran dalam gaya penulisan, teknik menyoal, pengumpulan data serta pemikiran kritis merupakan elemen penting untuk memelihara integriti setiap laporan berita yang dihasilkan.
Beliau berkata setiap warga kerja editorial perlu sentiasa berpegang teguh kepada Seksyen 4 Akta Bernama 1967 yang menuntut agar penyampaian berita dilakukan secara lengkap, objektif, seimbang dan tidak prejudis.
“Hal ini sangat penting bagi memastikan kredibiliti Bernama tidak dicabar. Saya yakin agensi ini akan terus unggul jika nilai-nilai seperti ketepatan, keadilan dan objektif terus diterapkan dalam setiap penulisan berita," katanya.
Selain nilai teras kewartawanan, Mokhtar turut menekankan kepentingan penguasaan teknologi semasa, khususnya AI, selaras dengan transformasi media global yang semakin mencabar.
Menurut beliau, wartawan Bernama perlu mendalami pengetahuan dalam bidang analitik data dan proses semakan fakta berasaskan teknologi bagi memperkukuh kualiti laporan di tengah-tengah kepantasan aliran maklumat digital masa kini.
Langkah itu dilihat sebagai strategi serampang dua mata untuk memastikan agensi itu bukan sahaja pantas dalam penyaluran berita, malah kekal sebagai rujukan utama yang sahih bagi ekosistem maklumat negara.
Mengenai hala tuju, bekas Ketua Pengarang dan Pengurus Besar Bernama Datuk Yong Soo Heong berkata agensi itu perlu memanfaatkan kredibiliti yang telah lama dibina untuk menangani kekeliruan akibat lambakan maklumat menerusi media sosial.
Yong yang juga Presiden Institut Akhbar Malaysia berkata peranan Bernama dalam pembinaan negara dan merapatkan jurang maklumat kini menjadi semakin penting.
“Peranan Bernama bukan sekadar membuat liputan. Analisis dan penerangan kini lebih menarik perhatian serta membantu meningkatkan pemahaman.
“Ia turut meningkatkan mutu kewartawanan dalam organisasi itu,” katanya sambil menyatakan perlunya lebih banyak penghasilan laporan yang mendalam seperti dilakukan agensi berita antarabangsa termasuk agensi berita Xinhua.
Beliau menyambut baik inisiatif Bernama untuk melibatkan wartawan veteran bagi memperkukuh kandungan penerbitannya, di samping menggesa bilik berita agar memanfaatkan Perpustakaan dan Pusat Sumber serta alat AI bagi menghasilkan berita yang memberi impak kepada rakyat.
Yong turut mengingatkan mengenai risiko terhakisnya nilai kewartawanan, dengan menegaskan Bernama perlu mengutamakan terhadap analisis serta maklumat yang berasaskan penyelidikan secara mendalam bukannya “perkara bukan kewartawanan” atau sebarang tekanan daripada pihak luar.
Beliau turut menasihati wartawan muda agar banyak membaca dan terus mempromosikan kepelbagaian Malaysia, sambil mengingatkan bahawa kewartawanan adalah kerjaya yang memberi kepuasan kepada mereka yang sanggup bekerja keras.
“Berhenti menyalahgunakan perkataan ‘eksklusif’ apabila ia sekadar laporan tentang sebuah organisasi yang sekadar menjalankan tugas tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan anda hanya satu-satunya wartawan yang hadir (pada program itu).
“Kerjaya sebagai wartawan bukan sekadar kerja waktu pejabat dari 9 pagi hingga 5 petang, sebaliknya mempunyai cabaran dan daya tarikannya tersendiri yang menjadikan kerjaya ini lebih bermakna serta memberi kepuasan apabila seseorang sanggup bekerja keras,” katanya.
Pada masa ini Bernama terus memperkukuh kehadiran di peringkat antarabangsa menerusi kolaborasi dengan agensi berita serantau dan global.
Di luar fungsi editorial, Bernama turut memperluas keupayaan komersialnya termasuk mengurus pusat media bagi mesyuarat dan pameran antarabangsa utama serta kegiatan penerbitan buku.
Bernama kini memiliki 967 orang warga kerja merangkumi petugas tetap, kontrak dan sambilan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial