Daripada Amirul Mohd Sajadi
MAKKAH, 20 Mei (Bernama) -- Patung mainan “plush” unta yang tergantung di kedai sekitar Masjidilharam kini bukan sekadar cenderamata biasa, sebaliknya antara “penumpang terawal” yang sedang bersedia pulang ke Malaysia apabila ramai jemaah haji mula menghantar buah tangan mereka lebih awal sebelum kemuncak ibadah haji bermula.
Deretan patung lembut unta yang cukup sinonim dengan Tanah Suci itu antara barangan paling banyak memenuhi kotak penghantaran bagasi jemaah Malaysia di Tanah Suci bersama kurma, jubah dan pelbagai cenderamata lain untuk keluarga di tanah air.
Situasi itu menyaksikan perkhidmatan penghantaran barangan dan bagasi yang diselaras Lembaga Tabung Haji (TH) terus mencatat peningkatan apabila sebanyak 133 tan penghantaran direkodkan dalam tempoh 22 hari operasi setakat ini.
Penolong Pengurus Masyair Unit Perkhidmatan Luar Mohd Roshidi Loman berkata purata lima tan barangan dihantar setiap hari dan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang wukuf minggu depan.
“Kebanyakan jemaah sekarang mahu kurangkan beban barang sebelum bergerak untuk masyair. Jadi mereka ambil peluang hantar lebih awal supaya lebih fokus kepada ibadah nanti.
“Setakat ini Selangor menjadi negeri paling tinggi menggunakan perkhidmatan penghantaran,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Mohd Roshidi berkata jumlah penghantaran musim ini dijangka meningkat hingga 400 tan berbanding kira-kira 300 tan tahun lepas berikutan sambutan lebih menggalakkan daripada jemaah.
Bagi musim haji 1447/2026, TH telah melantik lima syarikat logistik bagi menguruskan barangan jemaah iaitu MASkargo Logistics Sdn Bhd, FGV Transport Services Sdn Bhd, TH Travel & Services Sdn Bhd, KTH Logistics Sdn Bhd dan Pos Malaysia Berhad.
Beliau berkata semua syarikat berkenaan dipilih menerusi penilaian menyeluruh termasuk kemampuan operasi di Tanah Suci dan Malaysia serta sistem pengesanan barangan bagi memastikan setiap penghantaran dapat dipantau dengan baik.
Katanya, TH turut menetapkan kadar standard bagi semua syarikat iaitu RM18 sekilogram untuk penghantaran ke Semenanjung Malaysia dan RM23 sekilogram bagi Sabah dan Sarawak.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jemaah supaya hanya menggunakan syarikat yang dilantik TH bagi mengelak sebarang masalah termasuk kehilangan atau kerosakan barangan.
"Jemaah juga tidak dibenarkan menghantar barangan tertentu seperti air zamzam tanpa kebenaran khusus daripada TH,” katanya.
Mohd Roshidi berkata tempoh penghantaran ke Malaysia adalah antara tujuh hingga 21 hari dan setakat ini tiada cukai tambahan dikenakan terhadap penghantaran barangan jemaah haji Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial