Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman
KUDAT, 20 Mei (Bernama) -- Kedudukan Pulau Banggi yang terpencil tidak menghalang Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di pulau terbesar Malaysia itu mencipta nama di peringkat antarabangsa selepas menerima pengiktirafan berprestij daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Eneng Faridah Iskandar berkata NADI yang beroperasi di pulau berkenaan menerima pengiktirafan pada Anugerah Sidang Kemuncak Sedunia mengenai Masyarakat Berasaskan Maklumat (WSIS) 2025 bagi kategori Pembinaan Kapasiti.
“Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan dunia terhadap usaha yang dilaksanakan selama ini melalui rangkaian NADI dalam memperkasa komuniti melalui teknologi digital,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata pencapaian itu diharap menjadi pembakar semangat kepada 1,099 NADI di seluruh negara untuk terus berperanan sebagai pusat pendigitalan masyarakat, khususnya dalam menyediakan akses kemudahan digital, latihan serta maklumat berkaitan inisiatif kerajaan kepada penduduk luar bandar.
Eneng Faridah berkata NADI beroperasi berlandaskan lima teras utama iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta penyampaian maklumat.
Sementara itu, Pengurus NADI Pulau Banggi, Borhan Resaldi berkata pengiktirafan antarabangsa tersebut menjadi kebanggaan besar kepada komuniti setempat, memandangkan ia merupakan satu-satunya pusat sebaran maklumat yang beroperasi di pulau berkenaan.
Beliau berkata antara program yang mendapat sambutan ialah Tuisyen Rakyat, memandangkan lokasi pusat itu yang strategik berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi, antara sekolah menengah utama di pulau tersebut.
Menurut Borhan, Pulau Banggi mempunyai 16 sekolah termasuk 14 sekolah rendah, sekali gus menjadikan NADI sebagai ruang sokongan pembelajaran tambahan yang penting kepada pelajar di situ.
Katanya tuisyen NADI disediakan melalui tiga kategori iaitu webinar secara langsung, video atas permintaan (VOD) serta sesi ulang kaji yang dikendalikan guru berpengalaman.
Beliau berkata program tuisyen itu memberi tumpuan kepada subjek teras seperti Matematik, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Bahasa Melayu serta Pengajian Am bagi pelajar Tingkatan Enam, sebagai antara inisiatif mendekati pelajar dan meningkatkan keahlian NADI.
Borhan berkata NADI Pulau Banggi kini mempunyai 285 ahli, majoritinya terdiri daripada pelajar sekolah dan komuniti setempat.
Beliau berkata pihaknya turut merancang untuk memperluaskan hebahan mengenai program Tuisyen Rakyat dengan turun padang ke sekolah-sekolah, termasuk melalui kerjasama dengan jabatan serta agensi berkaitan.
“Usaha ini penting bagi mendekati lebih ramai pelajar dan meningkatkan penyertaan mereka sebagai ahli NADI, khususnya dalam kalangan komuniti pendidikan di pulau berkenaan,” katanya.
Borhan berkata kejayaan NADI Pulau Banggi wajar dijadikan contoh kepada kawasan lain, khususnya kawasan luar bandar dan pulau, dalam memperluas manfaat pendigitalan kepada rakyat.
Terletak kira-kira 70 kilometer dari tanah besar Kudat, Pulau Banggi yang berkeluasan 621 kilometer persegi dihuni kira-kira 30,000 penduduk, majoritinya bergantung kepada sektor perikanan serta pertanian kelapa sawit dan getah sebagai sumber ekonomi utama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial